Bunyi kambing bagi petunjuk rumah jiran terbakar

BALING - Saksi kejadian kes kebakaran terbaharu di Kupang mendakwa hanya menyedari insiden itu apabila kambing peliharaan berbunyi agak pelik.
Khairuzzaman Shahadan, 39, dari Kampung Charuk Kapas berkata, pada malam itu, dia mahu memberi haiwan itu makan seperti kebiasaan.
"Tetapi bunyi kambing di belakang rumah, agak pelik, tak sedap hati, keluar tengok di kandang, ketika itu anak perempuan saya Noraina Umaira, 9, ikut, dia menangis dan jerit, saya ingat dia nampak hantu, rupa-rupanya rumah jiran sedang terbakar," katanya.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, dia segera menghubungi rakannya seorang anggota bomba sukarela dan turut menghubungi Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Mohd Desa Jusoh untuk maklumkan kejadian.
Khairuzzaman berkata, dia segera membawa keluar kambingnya ke tempat selamat dan cuba memadamkan api dengan menggunakan air paip namun tidak berjaya kerana tekanan air perlahan menyebabkannya terpaksa menunggu bantuan pihak bomba yang tiba kemudian.

Dalam kejadian lebih kurang 9.15 malam Ahad itu, kebakaran didakwa berlaku ketika jirannya tiada di rumah.
Bagaimanapun, kejadian itu masih belum dapat dipastikan sama ada mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat ataupun misteri kebakaran yang berlaku berturut-turut di Kupang sejak Disember tahun lalu.
Jelasnya, sejak kebelakangan ini, penduduk yang resah, tidak lena tidur malam dan mengambil keputusan berkumpul serta berjaga-jaga dengan melaksanakan rondaan malam.

Dia bagaimanapun tidak menyangka, kebakaran terbaharu pada Ahad berlaku di rumah jirannya sendiri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Azmi Mokhtar berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu sama ada mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat atau tidak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

