Kebakaran misteri: Penduduk Kupang diminta buat solat hajat

ALOR SETAR - Penduduk diminta mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan dan keamanan berikutan kira-kira sembilan kebakaran harta dan rumah penduduk secara berturut-turut dalam tempoh sebulan dalam kawasan Kupang.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Abd Ghani Zainudin berkata, solat hajat terbabit adalah satu inisiatif memohon pertolongan ALLAH SWT.
Beliau menambah, umat Islam yang kesusahan sememangnya digalakkan melakukan amalan tersebut.
"Ya, ada surat arahan oleh pegawai agama daerah itu mengajak orang ramai memohon kepada ALLAH melakukan perkara baik dan bukan untuk melakukan kesalahan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.
"Selagi ia tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak, saya rasa tidak ada masalah untuk memohon bagi kebaikan bersama," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Abd Ghani berkata sedemikian ketika mengulas mengenai surat rasmi Pejabat Agama Baling yang tular tentang arahan mengadakan solat hajat memohon keselamatan penduduk dan keamanan daerah Baling kepada pihak masjid.
Pada 30 Disember lepas, Sinar Harian melaporkan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang di sini runsing memikirkan misteri kebakaran yang didakwa berlaku secara berturut-turut di enam lokasi di DUN berkenaan sejak minggu lalu.
Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Mohd Sabri Abu Bakar berkata, kejadian itu menimbulkan kebimbangan serta mengundang keresahan penduduk yang tinggal di kampung terlibat.
Tidak lama kemudian, berlaku satu lagi kejadian membabitkan motosikal dilaporkan di Kampung Hangus awal pagi 2 Januari lepas, selepas enam kebakaran berlaku secara berturut dalam kawasan Kupang itu.
Jelas Abd Ghani, kebakaran melibatkan lebih kurang sembilan kediaman itu amat membimbangkan penduduk tempatan kerana berkemungkinan insiden ini membabitkan unsur khianat dan jenayah.
Sehubungan itu, menurutnya, Pejabat Agama Daerah Baling mengarahkan pihak masjid di daerah ini menganjurkan solat hajat secara berjemaah pada minggu ini.
Berdasarkan surat bertarikh 5 Januari 2025 ditandatangani Pegawai Agama Baling, Hakimin Hassan itu meminta solat hajat itu dianjurkan selepas solat Jumaat pada 10 Januari 2025.
Antara tujuan solat hajat itu diadakan adalah untuk memohon kepada ALLAH SWT agar keselamatan penduduk sekitar terjamin serta semua urusan pihak berkuasa dan petugas keselamatan dipermudahkan.
Solat hajat terbabit juga bertujuan agar pihak berkuasa diberikan kekuatan dan kemudahan untuk menyelesaikan perkara ini dengan adil dan baik, sekiranya terdapat unsur jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

