Pembantu tadbir didenda RM15,000 terima rasuah

Muhammad Amin (kiri) didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin, kerana menerima rasuah melibatkan kerja-kerja pembersihan, pada 2019 hingga 2020 lalu. FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Muhammad Amin (kiri) didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin, kerana menerima rasuah melibatkan kerja-kerja pembersihan, pada 2019 hingga 2020 lalu. FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang pembantu tadbir pihak berkuasa tempatan (PBT) didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, kerana menerima rasuah sebanyak RM3,000 melibatkan kerja-kerja pembersihan, pada 2019 hingga 2020 lalu.

Muhammad Amin Rosdan, 32, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu, dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut semua pertuduhan, Muhammad Amin didakwa menerima wang masing-masing RM1,800 dan RM1,200 di akaun banknya daripada seorang lelaki berusia 31 tahun yang diketahui, mempunyai kaitan dengan tugas rasminya di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Klang antara 7 Mei 2019 hingga 13 Jun 2020.

Dia dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang bertugas sebagai penyelia di Unit Operasi Kebersihan Bandar Zon Tengah, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, MBSA didakwa menerima wang tersebut supaya pihak berkenaan tidak dikenakan notis tindakan pembetulan (NTP) bagi tuntutan bulanannya.

Semasa prosiding, Muhammad Amin yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung dua adik yang masih belajar.

Artikel Berkaitan:

“Saya berasal dari keluarga yang susah, mengaku insaf dan mohon yang Yang Arif memberi denda yang minimum, saya merayu.

"Ibu saya sakit, manakala bapa menjual air di tepi jalan telah uzur dan abang pula bekerja sebagai buruh, jadi saya tidak mempunyai sumber pendapatan lain,” katanya kesal dengan kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman berat sebagai pengajaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!