5 PBT Kelantan raih rekod cemerlang

KOTA BHARU - Lima pihak berkuasa tempatan (PBT) Kelantan mencatat rekod cemerlang tahun lalu antaranya Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai bandar ke-16 Terbaik Asia Tenggara serta ke-433 Terbaik Dunia.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, PBT lain yang menerima anugerah peringkat kebangsaan ialah Majlis Daerah Pasir Puteh, Jeli, Kuala Krai dan Tumpat.
“MPKB-BRI mendapat pengiktirafan Lima Bintang Anugerah Penarafan Bintang PBT 2024, Anugerah Bandar Mampan 2024 Program Pengukuran Bandar Mampan Malaysia melalui MURNInets, Anugerah The Champion of Ease of Doing Business bagi kategori Kelulusan Terpantas Projek Skala Kecil PBT seluruh Malaysia dan Anugerah The Champion of Ease of Doing Business sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2024.
“MPKB-BRI juga menerima Sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran untuk Penyata Kewangan, pengiktirafan Kota Bharu sebagai bandar ke-16 Terbaik Asia Tenggara dan bandar ke-433 Terbaik Dunia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih 2024 di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Ahad.
Ujar beliau, Majlis Daerah Pasir Puteh pula menerima Anugerah Bandar Mampan 2024 dan pengiktirafan Empat Bintang Anugerah Penarafan Bintang PBT 2024.
“Bagi Majlis Daerah Jeli, menerima Anugerah Standard Pelancongan Asian 2024-2026, Anugerah Bandar Paling Bahagia 2024, Anugerah Bandar Mampan 2024 Program Pengukuran Bandar Mampan Malaysia melalui MURNInets, pengiktirafan Empat Bintang Anugerah Penarafan Bintang PBT 2024 dan menerima Sijil Bersih Pengauditan Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2023.
“Pengiktirafan Empat Bintang Anugerah Penarafan Bintang PBT 2024 dan Anugerah Bandar Mampan 2024 juga diraih oleh Majlis Daerah Kuala Krai serta Tumpat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Jawatankuasa Kawal Selia Merancang dan Menyelaras Aktiviti-aktiviti Pemajuan Projek Pembangunan negeri Kelantan membantu dalam melancarkan fungsi PBT demi memastikan segala projek pembangunan mematuhi aspek yang digariskan.
Selainnya, kerajaan Kelantan juga mengagihkan Kumpulan Wang Perkhidmatan Kemajuan (ISF) Fasa 1 tahun ini lebih RM 3.3 juta ke seluruh PBT di negeri ini.
“Peruntukan ISF perlu digunakan sebaik mungkin dalam membangun dan menaik taraf kemudahan-kemudahan awam di negeri Kelantan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!