Kedutaan Besar China sentiasa pantau situasi banjir di Malaysia - Duta

Yujing (tengah) bergambar bersama penerima yang juga mangsa banjir pada majlis penyerahan bantuan kemanusiaan di SK Pulau Rusa.
Yujing (tengah) bergambar bersama penerima yang juga mangsa banjir pada majlis penyerahan bantuan kemanusiaan di SK Pulau Rusa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kedutaan Besar China sentiasa mengikuti perkembangan banjir di Malaysia dan secara aktif mencari jalan bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana tersebut.

Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing berkata, pihaknya telah menghulurkan bantuan barangan keperluan bernilai RM50,000 bagi membantu 500 mangsa banjir di Kampung Pulau Rusa di sini yang kehilangan banyak harta benda dalam bencana berkenaan pada akhir tahun lalu.

"Banjir melanda Terengganu dan banyak lagi di tempat lain sejak akhir tahun lalu telah menjejaskan kehidupan seharian berpuluh ribu orang.

"Kita telah mengikuti dengan teliti keadaan tersebut dan secara aktif mencari jalan bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas.

"Apatah lagi hubungan persahabatan kedua-dua negara telah terjalin begitu lama dan sedia berkongsi kesusahan yang dihadapi rakyat," katanya.

Yujing (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pada majlis penyerahan bantuan kemanusiaan di SK Pulau Rusa pada Ahad.
Yujing (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pada majlis penyerahan bantuan kemanusiaan di SK Pulau Rusa pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan kemanusiaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Yujing berkata, pihaknya bekerjasama dengan Yayasan Ikram Malaysia bagi menyampaikan bantuan tersebut supaya dapat menceriakan mangsa bencana banjir.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin menyatakan kerjasama dengan Kedutaan Besar China itu bukanlah kali pertama malah sebelum ini mereka telah berganding bahu dalam beberapa inisiatif lain.

"Bantuan ini merupakan bukti nyata betapa pentingnya semangat solidariti dalam menangani cabaran bersama.

"Jadi saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kedutaan Besar China atas sumbangan diberikan serta sokongan berterusan kepada program Yayasan Ikram," jelasnya.

Dalam pada itu, Badlishah berkata, antara sumbangan barangan yang disampaikan kepada mangsa banjir antaranya selimut, toto, bantal dan tuala.

"Selain sumbangan barangan, sukarelawan kita juga turun padang membantu mangsa untuk bergotong-royong membersihkan rumah pasca banjir," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!