HPUSM belanja lebih setengah juta bantu pesakit kurang mampu

Simbolik penerimaan replika cek kutipan Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM pada Sabtu.
Simbolik penerimaan replika cek kutipan Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih setengah juta ringgit dibelanjakan oleh Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) bagi membantu 241 pesakit kurang berkemampuan mendapatkan rawatan dan fasiliti di institusi perubatan berkenaan.

Pengarah HPUSM, Profesor Datuk Dr Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani berkata, kos ditampung pihak hospital itu melalui dana Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM yang disumbangkan pelbagai pihak dalam tempoh lima tahun bermula 2019.

Dr Ab Rahman
Dr Ab Rahman

“Sepanjang 2019 hingga 31 November tahun lalu, Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM membelanjakan sebanyak RM 633,092.03 untuk membantu 241 pesakit antaranya kanser dan jantung.

“Pelbagai jenis bantuan disalurkan termasuk peralatan perubatan, prostesis dan ortosis, peralatan perubatan sokongan, makanan khas serta ubat-ubatan,” katanya kepada kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Amal Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Tetamu yang hadir pada Majlis Makan Malam Amal Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM.
Tetamu yang hadir pada Majlis Makan Malam Amal Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM.

Beliau memberitahu, Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM yang ditubuhkan sejak 1987 itu bertujuan membantu pesakit kurang berkemampuan agar tidak dipinggirkan dan memberi peluang mereka mendapatkan rawatan terbaik tanpa sebarang kompromi terhadap kualiti.

Ujarnya lagi, tabung itu juga diwujudkan dengan matlamat yang jelas untuk meringankan beban kewangan pesakit.

Artikel Berkaitan:

“HPUSM sentiasa komited dalam menyediakan rawatan terbaik kepada para pesakit, namun masih terdapat yang menghadapi kekangan kewangan dalam mendapatkan rawatan sepatutnya.

“Justeru, Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM akan membantu mereka dapat menjalani rawatan di HPUSM seperti pesakit-pesakit lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seiring penarafan sebagai hospital pakar, HPUSM akan terus memberikan rawatan terbaik kepada pesakit-pesakit di negeri Kelantan dan mengalu-alukan sumbangan atau zakat bagi sama-sama membantu pesakit yang memerlukan.

“HPUSM juga beriltizam akan memberikan ‘harga marhaen’ tetapi ‘kemudahan platinum’ kepada pesakit-pesakit kami.

“Bagi peringkat pertama, HPUSM akan melaksanakan program kelestarian alam sekitar dan kemudahan untuk pesakit termasuk menukar kerusi-kerusi roda lama kepada baharu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!