Kos pengambilan tanah untuk LRT Laluan Mutiara dikekal kadar nominal

GEORGE TOWN - Kementerian Pengangkutan memberi jaminan bahawa kos pengambilan tanah bagi Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara akan dikekalkan pada kadar nominal untuk mengurangkan beban kepada kerajaan Persekutuan.
Menterinya, Anthony Loke berkata, perundingan tegas bersama kerajaan Pulau Pinang akan dilakukan bagi mencapai matlamat tersebut.
“Saya telah menerima arahan daripada Perdana Menteri dan Kabinet. Walaupun Ketua Menteri daripada parti yang sama dengan saya, perundingan tetap akan dijalankan secara tegas dengan kerajaan negeri.
“Sebagai Menteri Pengangkutan, saya akan memastikan kos tanah kekal nominal untuk kepentingan kerajaan Persekutuan, bukan atas kapasiti parti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang, di sini pada Sabtu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Dalam pada itu, Anthony memaklumkan Projek LRT Laluan Mutiara melibatkan jajaran sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen strategik, termasuk sebuah stesen sementara di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang (Penang South Reclamation Island-A atau PSR-A).
“Jajaran ini bermula dari PSR-A dengan dua stesen terminus, iaitu di Komtar dan Penang Sentral. Kedua-dua laluan ini akan beroperasi secara bergilir untuk memastikan perjalanan lebih lancar dan masa perjalanan yang dioptimumkan.
"Salah satu penambahbaikan utama projek ini ialah sambungan stesen terminus dari Komtar ke Penang Sentral yang bakal meningkatkan kesalinghubungan penduduk di kedua-dua belah Selat Pulau Pinang.
“Projek ini juga dirancang dengan visi jangka panjang, termasuk potensi sambungan laluan ke kawasan seperti Tanjung Bungah dan Air Hitam melalui stesen pertukaran utama di Komtar,” jelas beliau.
Anthony turut menegaskan bahawa kerajaan cakna dengan maklum balas rakyat dan penjajaran Projek LRT Laluan Mutiara yang telah diubah demi memenuhi keperluan komuniti setempat.
“Penjajaran kini melalui kawasan Macallum dan Bandar Sri Pinang, menggantikan Jalan Gurdwara. Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan projek ini memberi manfaat maksimum kepada rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

