Hati-hati, kamera AwAS 'menyamar' tiang lampu biasa - Pakar automotif

Kamera AWAS dipasang di tepi jalan menyerupai tiang besi biasa. Gambar kecil: Hezeri Samsuri
Kamera AWAS dipasang di tepi jalan menyerupai tiang besi biasa. Gambar kecil: Hezeri Samsuri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Orang ramai perlu berwaspada ketika memandu di jalan raya atau lebuh raya kerana kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) yang dipasang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sukar dikesan.

Ini kerana, kamera tersebut kelihatan seperti tiang lampu biasa yang dicat dengan warna hitam dan dipasang di lokasi strategik di tepi jalan raya serta lebuh raya.

Pakar automotif, Hezeri Samsuri berkata, sistem AwAS sebenarnya setara keberkesanannya dengan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang pernah dipasang oleh JPJ sebelum ini, serta mana-mana sistem kamera pengawasan had laju lainnya.

Keupayaan kamera AWAS ini adalah untuk mengukur purata kelajuan kenderaan dari titik A ke titik B, dengan lebih efektif dan sesuai dipasang di lokasi yang sering berlaku kemalangan.
Keupayaan kamera AWAS ini adalah untuk mengukur purata kelajuan kenderaan dari titik A ke titik B, dengan lebih efektif dan sesuai dipasang di lokasi yang sering berlaku kemalangan.

Menurut Hezeri, pemasangan sistem AwAS bertujuan mendidik pengguna supaya sentiasa mematuhi had laju dan berhati-hati semasa memandu, baik di jalan raya mahu pun lebuh raya.

Namun begitu, Hezeri menjelaskan bahawa keistimewaan sistem AWAS adalah keupayaannya untuk mengukur purata kelajuan kenderaan dari titik A ke titik B, dengan lebih efektif dan sesuai dipasang di lokasi yang sering berlaku kemalangan.

Beliau berkata, contohnya, kawasan sebelum Terowong Menora Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di Ipoh, Perak dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

"Apa yang berlaku adalah, kamera di Titik A akan mengambil gambar nombor pendaftaran kenderaan, dan gambar seterusnya akan diambil apabila kenderaan itu melintasi kamera di Titik B. Sistem komputer akan mengira purata kelajuan kenderaan berdasarkan bukti bergambar," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Antara lokasi pemasangan kamera AWAS di jalan utama dan lebuh raya di seluruh Malaysia.
Antara lokasi pemasangan kamera AWAS di jalan utama dan lebuh raya di seluruh Malaysia.

Antara kelebihan utama kamera AwAS berbanding AES adalah keupayaannya untuk memantau lalu lintas dari semua arah atau dalam 360 darjah.

Sistem AwAS juga dilengkapi dengan teknologi pengesanan nombor plat kenderaan secara automatik (ANPR), yang bukan sahaja memastikan kamera berfungsi dengan lebih baik malah, memudahkan JPJ untuk mengeluarkan saman kepada pesalah lalu lintas. Ini termasuk kesalahan seperti memandu secara berbahaya, melulu, melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat merah.

Selain itu, kamera AwAS ini turut dilengkapi dengan fungsi tambahan seperti penguatkuasaan had laju, pengesanan pusingan U yang tidak sah dan pemantauan lampu isyarat.

Salah satu ciri unik sistem kamera AwAS adalah reka bentuknya yang menyamar seperti tiang lampu biasa, sekali gus mengurangkan peluang pemandu untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Namun begitu, Hezeri turut menjelaskan sistem AwAS mempunyai kelemahan. Antaranya, ia tidak sesuai dipasang di laluan yang mempunyai jarak berpuluh-puluh kilometer kerana ini boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kemalangan jika semua kenderaan memperlahankan kelajuan secara serentak.

"Sistem AwAS juga tidak sesuai dipasang di plaza tol kerana lebih mudah jika pemantauan dilakukan oleh satu agensi tunggal seperti JPJ," tambahnya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Hezeri menambah bahawa biasanya sistem kamera AwAS dipasang dalam jarak beberapa kilometer dari susur keluar lebuh raya atau kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

"Dari segi kos penyelenggaraan dan pembelian, pastinya sistem ini lebih mahal kerana ia memerlukan dua kamera dan sistem komputer yang canggih," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!