Anwar lancar misi bantuan kemanusiaan 30 kontena Malaysia ke Gaza

Anwar (kanan) menerima replika lori kontena selepas melancarkan Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza pada Majlis Berbuka Puasa bersama Pemimpin Masyarakat Tempatan di Kompleks Seri Perdana pada Ahad. Foto Bernama
Anwar (kanan) menerima replika lori kontena selepas melancarkan Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza pada Majlis Berbuka Puasa bersama Pemimpin Masyarakat Tempatan di Kompleks Seri Perdana pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad melancarkan Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 rakyat Palestin di Gaza. 

Majlis pelepasan rasmi disempurnakan Anwar sempena Majlis Berbuka Puasa Pemimpin Masyarakat Tempatan bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini, yang turut dihadiri isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Inisiatif berskala nasional itu diterajui Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama Sumud Nusantara dengan dukungan penuh kerajaan Malaysia. 

Mapim dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan misi berkenaan membawa muatan 30 kontena bersaiz besar berjumlah 374 tan termasuk 14 kontena kotak makanan serta masing-masing lapan kontena tepung dan kit kebersihan.

"Kerajaan memandang serius penutupan ruang udara antarabangsa susulan ketegangan konflik di Timur Tengah serta penutupan penuh sempadan Rafah. 

"Walau bagaimanapun, Malaysia kekal tegas dan konsisten mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat dan tidak akan berdiam diri melihat penderitaan rakyat awam,” menurut kenyataan itu.

Menurut Mapim, misi berkenaan akan digerakkan secara berfasa dengan penghantaran Pasukan Awal Misi ke Kaherah, Mesir dijangka pada Selasa ini.

"Misi ini membuktikan bahawa solidariti rakyat Malaysia melangkaui kaum, agama dan latar belakang politik. Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin bukan hanya dengan kata-kata, tetapi tindakan nyata,” menurut kenyataan itu.

Anwar dalam kenyataan sama berkata, Sumud Darat menandakan komitmen Malaysia yang tidak lentur dalam mempertahankan hak, maruah dan kelangsungan hidup rakyat Palestin. 

Artikel Berkaitan:

"Kita menolak segala bentuk penindasan, menentang kezaliman tanpa mengira pelakunya dan menyokong usaha ke arah keamanan yang berteraskan keadilan serta undang-undang antarabangsa,” kata beliau.

Turut hadir, barisan Jemaah Menteri antaranya Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil;  Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. 

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria serta Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby. - Bernama

 

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza
  • Misi ini diharap dapat memberi manfaat kepada lebih 100,000 rakyat Palestin di Gaza
  • Inisiatif ini diterajui oleh Mapim bersama Sumud Nusantara dengan dukungan kerajaan Malaysia
  • Muatan misi termasuk 14 kontena kotak makanan, lapan kontena tepung dan kit kebersihan
  • Malaysia menegaskan komitmen dalam mempertahankan hak dan kelangsungan hidup rakyat Palestin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!