Minat solekan pengantin dorong tauke kilang, datuk 12 cucu jadi Pak Andam

Megat Tan hanya menerima tempahan solekan untuk pengantin lelaki sahaja. Foto Ihsan Megat Tan.
Megat Tan hanya menerima tempahan solekan untuk pengantin lelaki sahaja. Foto Ihsan Megat Tan.
A
A
A

SHAH ALAM - Berbekalkan minat mendalam terhadap bidang solekan dan tata rias mendorong bapa lapan anak serta 12 cucu, Megat Mat Akhir Megat Mohamad, 57, membuka butik sekali gus menjadi Pak Andam kepada bakal pengantin lelaki.

Mesra dipanggil Megat Tan, dia berkata, dirinya kerap dipelawa menjadi pengapit pengantin lelaki ketika majlis perkahwinan kenalan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ia sedikit sebanyak menjadi titik-tolak permulaan kerjayanya sebagai jurusolek.

Menurut pemilik kilang arang kayu bakau itu, khidmat jurusolek merangkap pengapit ditawarkan khusus buat kaum Adam sahaja dan kadang-kala ia menjadi pertikaian berikutan ada yang menganggapnya lelaki lembut.

“Saya bukan lembut, saya lelaki tulen cuma suka bidang solekan. Walaupun dah lama minat mengandam dan siapkan pengantin sejak 80-an lagi, saya ambil keputusan buka butik pada 2016 di Taiping dan pada masa sama masih usahakan kilang.

“Mula-mula tak banyak tempahan kerana saya agak segan mahu buat promosi. Tetapi, 2020 ada peningkatan sedikit dan tahun lepas saya cuba nak iklankan servis di media sosial, terus tular konten saya!

“Tempahan tak putus-putus, Alhamdulillah! Jadual sudah terisi sehingga Disember tahun ini, tetapi ada yang saya terpaksa tolak kerana percanggahan tarikh nikah pengantin,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Megat Tan
Megat Tan

Megat Tan memberitahu, dia sempat menghentikan khidmatnya sebagai pengapit pengantin lelaki sekitar 2005 meskipun menerima terlalu banyak permintaan ketika musim kahwin.

Artikel Berkaitan:

Hal ini kerana menurutnya, dia mahu menumpukan perhatian penuh kepada operasi kilang yang baharu menjengah usia lima tahun.

Ditanya mengenai maklum balas pelanggan, Megat Tan bersyukur kerana setakat ini belum pernah menerima komen buruk atau kritikan pedas berikutan majoriti berpuas hati dengan air tangan anak sulung daripada tujuh beradik itu.

Dia berkata, isterinya, Asmah Ariffin, 62, dan anak-anak tidak pernah menghalang, malah turut sama membantu dalam mengusahakan butik dan hiasan pelamin pengantin.

Jelas anak jati Perak itu, dia juga amat menitikberatkan penggunaan produk berkualiti agar sentuhannya meninggalkan efek segar, bahkan tahu setiap jenis barangan mekap yang menepati tona kulit pengantin.

“Pada mulanya, tak tahu juga tetapi saya banyak belajar daripada rakan kongsi. Lama-kelamaan tahu banyak perkara tentang produk mekap, bimbang juga kerana ada antaranya mengalami kulit sensitif.

“Semua ini bukan kerana duit semata-mata, namun atas dasar minat. Kalau pengantin perempuan mahukan servis, kami juga sediakan jurusolek wanita.

“Kuncinya syukur dan ikhlas. Selagi ada kudrat, saya akan terus bergiat aktif dalam bidang andaman ini sambil mengusahakan kilang arang kayu bakau saya,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!