Pas nafi mahu wujud kerajaan pintu belakang

Kamaruzaman
Kamaruzaman
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad menafikan parti itu mahu mewujudkan kerajaan pintu belakang, sebaliknya menyokong tindakan yang tidak bercanggah dengan undang-undang.

"Satu stigma perlu dibetulkan apabila ada yang cuba mengistilahkan pembentukan kerajaan baru sebelum tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai cubaan menubuhkan kerajaan pintu belakang.

"Kita kena ingat, negara kita ada lunas undang-undang dan Pas dalam Muafakat Nasional akan menyokong apa sahaja tindakan yang tidak bercanggah dengan undang-undang," katanya.

Kamaruzaman berkata demikian pada program Sinar Live yang membincangkan tajuk 'Kerajaan pintu belakang, apa kata Pas' yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian semalam.

Sebelum itu, beliau berkata, sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, Pas sudah memperkenal budaya politik baharu yang dinamakan sebagai budaya politik matang dan sejahtera.

"Dalam keadaan ini di mana Pas sebagai pembangkang, kita bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa itu dalam isu-isu melibatkan kepentingan bersama rakyat dan negara.

"Contohnya, kita bersama dalam isu rakyat Palestin dan Bolivia, kita bersama dalam isu-isu lain yang dilakukan demi untuk kebaikan negara dan pada masa ini kita masih meneruskan budaya itu.

"Dalam keadaan tertentu kita menentang kerajaan kerana kita yakin tindakan kerajaan merugikan negara dan dalam masa tertentu juga kita tetap menyokong kerajaan dan perkara itu boleh dilihat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa sejak 1951 Pas tidak pernah mengkhianati rakan-rakan politik, sebaliknya parti itu yang dikhianati termasuk oleh DAP ketika bersama dalam Pakatan Rakyat.

Namun katanya, sehingga kini Pas tetap berpegang kepada prinsip perjuangannya dan tidak pernah takut untuk bersama dengan siapa sahaja demi membawa kebenaran serta kebaikan untuk negara.