Kit Siang dakwa Pas panik, keluar kenyataan tidak masuk akal

LIM KIT SIANG
LIM KIT SIANG
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Veteran DAP, Lim Kit Siang membidas sikap panik pemimpin Pas terutama berkaitan isu janji peralihan kuasa Pakatan Harapan (PH) sehingga sanggup mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak masuk akal.

Beliau berkata, para pimpinan Pas kini kelihatan seolah-olah mereka adalah pakar dalam bidang perlembagaan yang layak untuk menjawat jawatan tinggi kehakiman tanpa mengambil kira sama ada mereka mempunyai sebarang asas ataupun tidak dalam bidang tersebut.

Katanya, antara rahmat yang patut disyukuri oleh segenap rakyat di negara ini adalah hakikat yang sebenarnya para pemimpin Pas ini tidak menjawat sebarang jawatan tinggi kehakiman di dalam negara.

"Seorang pemimpin Pas yang mempunyai latar belakang perundangan mendakwa perbincangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini mencabuli kuasa Yang di- Pertuan Agong.

"Kenyataan ini membuatkan saya terfikir, daripada mana beliau mendapat ilmu perundangan? Sementara itu seorang lagi pula menyatakan yang Majlis Presiden PH tidak mempunyai 'locus standi' untuk menentukan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri.

"Mungkin, jika diperlukan satu bentuk ujian kecerdasan asas, kita akan dapat lihat pengurangan kenyataan tidak masuk akal daripada para ahli politik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN Biar ahli Parlimen tentukan kedudukan Perdana Menteri, kata Pas

Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini berkata, sebarang keputusan daripada Majlis Presiden PH tidak akan memberi kesan terhadap kedudukan Perdana Menteri kerana ia tidak mempunyai sebarang 'locus standi' dalam menentukan siapa Perdana Menteri mentadbir negara.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata sekiranya perjanjian peralihan kuasa yang dimuktamadkan parti sekutu PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) benar-benar wujud, maka ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong.

ARTIKEL BERKAITAN Pas dakwa perjanjian peralihan kuasa tidak sah

Artikel Berkaitan:

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, jelas sekali semua kenyataan dikeluarkan oleh para pemimpin Pas itu kerana mereka tidak mahu Pakatan Harapan untuk menepati janji pilihan rayanya.

Katanya, pemimpin Pas juga dilihat amat rakus dalam menyerang PH mengenai isu janji dan manifesto pilihan raya.

"Adakah para pemimpin Pas mampu untuk menetapkan pendirian mereka mengenai isu ini, selepas mereka memilih untuk bekerjasama dengan para kleptokrat dan mengeluarkan pelbagai penipuan 'mesra-syariah' selepas PRU 14?," katanya.