Biar ahli Parlimen tentukan kedudukan Perdana Menteri, kata Pas

Noh, Ahmad Fadhli dan Asyraf
Noh, Ahmad Fadhli dan Asyraf
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ahli Parlimen dari Pas mahu pelantikan jawatan Perdana Menteri mestilah dibahas dan diputuskan oleh semua anggota Dewan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, sebarang keputusan daripada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak akan memberi sebarang kesan terhadap kedudukan Perdana Menteri.

Jelas beliau, perkara itu disebabkan Majlis Presiden PH menyedari bahawa mereka tidak mempunyai bilangan atau sokongan majoriti ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

"Atas faktor itu, saya berpandangan Majlis Presiden PH tidak mempunyai sebarang 'locus standi' dalam menentukan siapa Perdana Menteri mentadbir negara.

"Majlis tertinggi kepimpinan PH itu mungkin boleh memberi keputusan, namun ia tidak memberi kesan terhadap kedudukan Perdana Menteri sedia ada kerana hanya ahli Dewan Rakyat layak menentukannya," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas polemik peralihan kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini memasuki fasa baharu apabila DAP mencadangkan kerajaan PH perlu mengenal pasti bakal Timbalan Perdana Menteri.

DAP turut mencadangkan supaya Dr Mahathir diberikan peranan sepanjang proses peralihan kuasa diserahkan kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk melibatkan beliau dalam pentadbiran.

Terdahulu, Anwar dalam ciapan di laman Twitternya pada 13 Februari lalu menyatakan beliau setuju peralihan kuasa itu berlaku selepas persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC 2020).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, sebelum itu, Dr Mahathir menegaskan kedudukan beliau sebagai pemimpin nombor satu negara kekal atau sebaliknya hanya boleh ditentukan oleh anggota Dewan Rakyat.

Menurutnya, perkara itu merupakan prinsip bagi sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda Pas Pusat mencabar Majlis Presiden PH membuat satu ketetapan supaya Dr Mahathir diundurkan segera dalam sesi mesyuarat pada 21 Februari ini.

"Ini kerana saya percaya dan yakin bahawa Majlis Presiden PH tidak akan berani untuk merealisasikan cabaran mempercepatkan proses peralihan kuasa pada tarikh yang mereka mahukan," ujar beliau

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, peralihan kuasa dapat dijalankan berdasarkan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Jelas beliau, bilangan Ahli Parlimen PH sudah cukup untuk menentukan kedudukan Perdana Menteri.

"Dalam soal ini, majoriti dalam Dewan Rakyat adalah Ahli Parlimen PH, kami (ahli Parlimen pembangkang) bukan majoriti, jadi biar mereka yang tentukan, tak ada kena-mengena dengan pembangkang," katanya.

Bagi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beliau melontarkan cabaran berbeza dengan mendesak Majlis Presiden PH tidak membincangkan soal peralihan kuasa pada mesyuarat dijadualkan 21 Februari ini.

Sebaliknya, beliau mencabar Majlis Presiden PH memfokuskan perbincangan bagi menyediakan pakej rangsangan ekonomi terbaik secepat mungkin dalam menghadapi cabaran ekonomi negara paling mencabar ketika ini.

"Kerajaan harus fokus dan bincang apa tindakan segera negara dalam hadapi masalah ekonomi negara yang dianggap sangat mencabar ketika ini, bincang kaedah penyediaan pakej rangsangan ekonomi secara menyeluruh dalam keadaan negara ketiadaan sumber kewangan mencukupi.

"Kalau mereka masih bercakap soal peralihan kuasa (pada mesyuarat 21 Februari kelak), ini membuktikan PH hanya pakatan bersifat mementingkan kuasa dan langsung tidak memahami kebimbangan rakyat," katanya.

Asyraf Wajdi berkata, 'malapetaka' ekonomi negara yang bakal dihadapi tahun ini sebenarnya membawa kesan jauh lebih besar yang tidak dapat dibayangkan sekiranya tiada perancangan rapi dibuat.

Menurutnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sangat perlahan sepanjang tahun lepas membuktikan kerajaan PH kini sudah tersasar jauh daripada realiti sebenar kemampanan ekonomi dan seolah-olah tidak fokus.

"Rakyat bukan hendak tahu siapa Perdana Menteri kelapan dan muak mendengar isu politik yang tidak berkesudahan sedangkan mereka kesempitan hidup.

"Selagi rakyat dan pelabur tidak nampak kerajaan serius tadbir negara, selagi itu segala inisiatif mereformasi pentadbiran negara tidak akan menjadi kenyataan," katanya