Kes rasuah Rosmah: Madinah didakwa jadikan Najib kambing hitam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam kepada Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menggasak bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad Mohamad dengan menuduhnya cuba menjadikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai kambing hitam susulan didakwa memberi keterangan bercanggah dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Madinah yang merupakan saksi pendakwaan keenam dalam perbicaraan kes rasuah dihadapi Rosmah dalam pernyataan saksinya sebelum ini mengkritik projek hibrid solar Kementerian Pendidikan dengan mengatakan ia kurang berdaya maju selain menegaskan projek tersebut tidak sesuai untuk beberapa sekolah di kawasan pedalaman terutama yang dilitupi hutan tebal berbanding penjana kuasa diesel.

Bagaimanapun, Madinah dalam perbicaraan hari ini didakwa memberi keterangan berbeza ketika disoal balas oleh Datuk Akberdin Abdul Kader dan pengakuannya hari ini bukan seperti yang disampaikan saksi tersebut kepada Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid seperti dalam memorandum bertarikh 16 Jun 2016.

Akberdin: Setuju dengan saya tak, hari ini dalam mahkamah awak kata macam ini, genset penyelesaian utama. Tapi masa keluarkan memo kamu (16 Jun 2016) pada menteri, awak kata solar hibrid merupakan alternatif lebih baik. Jadi setuju dengan saya ini satu percanggahan yang jelas. Setuju?

Madinah: Tidak bersetuju

Akberdin: Tak setuju? Saya dah baca. Ayat itu pendek, Senang nak faham. Tak setuju? Dulu awak sokong (projek hibrid) solar. Sekarang awak sokong genset.

ARTIKEL BERKAITAN: Nilai kontrak RM1.25 bilion ditetapkan Jepak: Saksi

Rakan kongsi Jepak ugut bongkar penglibatan Najib, Rosmah

Artikel Berkaitan:

Madinah: Dari segi itu memang ada percanggahan.

Saksi berkenaan dituduh pihak pembelaan memberi keterangan bercanggah ekoran sebelum ini menegaskan bahawa sistem solar tidak sesuai di sekolah-sekolah di Sarawak namun kemudian menyokong pelaksanaan projek solar kerana mempunyai niat tidak baik.

Mahkamah diberitahu bahawa Madinah menyokong surat penerimaan untuk projek hibrid solar sejurus sebelum beliau bersara sebagai ketua setiausaha Kementerian Pendidikan pada 2 September 2016.

Peguam bela Rosmah itu juga mendakwa Madinah menukar pendiriannya selepas kes tersebut dibawa ke mahkamah.

Akberdin: Kamu datang ke mahkamah hari ini, projek ini 2015 dan 2016, kamu bersara (pada) 2 September dan hari ini 18 Februari 2020 kamu datang ke mahkamah dan kondem projek tu habis-habisan.

Madinah: Tak betul

Akberdin: Apa yang tak betul. Saya katakan tindakan Tan Sri di mahkamah ini ada niat jahat bila keputusan adalah berdasarkan minit Perdana Menteri (bertarikh) 7 Jun 2016. Bila dah tersepit kamu cari kambing hitam.You start to push the blame on others, betul?

Madinah: Tidak betul

Akberdin juga menuduh Madinah mempunyai kepentingan dan gagal memberi nasihat kepada Najib mengenai fakta-fakta projek hibrid solar itu, yang Madinah tidak bersetuju.

Rosmah, 68, berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, diKuala Lumpuri; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 Sept, 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.