X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga geng ligat curi kenderaan diberkas

Baharudin (tengah) menunjukkan antara kenderaan curi yang dirampas sepanjang Ops Lejang Khas di sekitar Lembah Klang, Pahang dan Kedah bermula 8 Januari hingga 31 Januari.
A
A

SHAH ALAM - Polis berjaya memberkas 30 individu masing-masing dari kumpulan yang ligat mencuri kenderaan iaitu Geng Emy Puchong, Geng Aliff dan Geng Jamal dalam Ops Lejang Khas di sekitar Lembah Klang, Pahang dan Kedah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, operasi sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu dilaksanakan bermula 8 Januari hingga 31 Januari lau dan berjaya menahan 30 individu tersebut termasuk tiga warga Myanmar berusia dari 16 hingga 35 tahun.

"Kita percaya antara kumpulan yang ditumpaskan adalah Geng Emy Puchong, Geng Aliff dan Geng Jamal.

"Sepanjang operasi ini, polis telah merampas dua buah kereta, 11 motosikal, lapan buah rangka motosikal serta beberapa buah komponen kenderaan dileraikan yang dianggar bernilai RM260,000," katanya dalam sidang akhbar di IPD Shah Alam hari ini.

Baharudin menunjukkan antara kenderaan curi yang dirampas sepanjang Ops Lejang Khas di sekitar Lembah Klang, Pahang dan Kedah bermula 8 Januari hingga 31 Januari.
Baharudin menunjukkan antara kenderaan curi yang dirampas sepanjang Ops Lejang Khas di sekitar Lembah Klang, Pahang dan Kedah bermula 8 Januari hingga 31 Januari.

Baharudin berkata, dipercayai ada antara suspek ini telah aktif sejak setahun lalu selain mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, siasatan mendapati ahli kumpulan itu mensasarkan beberapa lokasi seperti pusat beli-belah, kawasan perumahan apartment dan flat untuk mencuri kenderaan.

"Kenderaan yang dicuri khususnya motosikal akan dileraikan sebelum dijual dan ia bergantung kepada permintaan," katanya.

Sehubungan itu katanya, sejumlah kira-kira 45 kes kecurian kenderaan dapat diselesaikan susulan kejayaan polis menumpaskan tiga kumpulan penjenayah tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan selain Akta Pencegahan Jenayah ( POCA) 1959.