Kes rasuah Tengku Adnan didengar di hadapan hakim baharu

Tengku Adnan
Tengku Adnan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah RM1 juta bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang baharu.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 Februari lepas yang membenarkan rayuan Tengku Adnan, 69, agar Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu dan memerintahkan supaya kes tersebut dipindahkan ke mahkamah lain.

Hari ini semasa pengurusan kes itu, Hakim Mohd Nazlan berkata, beliau mengambil maklum keputusan Mahkamah Rayuan.

“Kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 4 (Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin),” katanya.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Muhammad Jamil, Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim memberitahu mahkamah pihaknya telah membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

“Mohon satu tarikh sebutan ditetapkan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Persekutuan serta penangguhan perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai,” katanya.

Hakim Muhammad Jamil membenarkan penangguhan tersebut dan menetapkan 25 Mac untuk pengurusan kes.

Setakat ini dua saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan.

Artikel Berkaitan:

Tengku Adnan merayu terhadap keputusan Hakim Mohd Nazlan pada 20 September tahun lepas yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu memohon Hakim Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar kesnya kerana hakim itu telah membaca dan mempertimbangkan fakta kes ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon yang membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Tengku Adnan yang menerima suapan RM1 juta daripadanya dan didenda RM1.5 juta.

Pada 15 November tahun lepas, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan RM1 juta daripada ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menambah nisbah plot sebidang tanah berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menerima RM1 juta daripada Eng Boon tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama