Usain Bolt India lebih suka berlari dengan kerbau

Aksi Gowda yang berjaya memecahkan rekod Kambala mula menjadi tular pada akhir minggu lalu. - Foto Agensi
Aksi Gowda yang berjaya memecahkan rekod Kambala mula menjadi tular pada akhir minggu lalu. - Foto Agensi
A
A
A

NEW DELHI - Seorang pelumba kerbau di India yang dibandingkan dengan pelari pecut, Usain Bolt menolak tawaran rasmi yang menjemputnya untuk mengambil bahagian dalam ujian pecut kebangsaan.

Srinivas Gowda, 28, memecahkan rekod Kambala, sebuah acara larian bersama dua kerbau ditambat bersama sejauh 132 meter atau 142 meter di sawah padi.

Gowda dikatakan berjaya menamatkan lariannya dalam tempoh 13.42 saat manakala Bolt yang memegang rekod dunia untuk acara 100 meter tiba di garisan penamat dalam tempoh 9.58 saat.

Pencapaian lelaki terbabit turut mendapat perhatian media tempatan dan media sosial serta turut sampai ke pengetahuan ahli politik tetapi Gowda yang mendapat julukan 'Usain Bolt India' memberitahu BBC Hindi, dia tidak dapat menyertai ujian pecut kebangsaan kerana kecederaan pada kakinya.

"Saya biasa berlari dengan kerbau di sawah padi. Fokus saya hanya pada Kambala," katanya merujuk kepada sukan tradisi yang berasal dari bahagian Pantai Karnataka.

Difahamkan, rakaman video memaparkan aksinya yang dilakukan di sebuah perkampungan di Karnataka pada awal Februari mula menjadi tular akhir minggu lalu.

Sabtu lalu, Menteri Sukan, Kiren Rijiju menerusi Twitter memaklumkan beliau telah menguruskan tiket kereta api bagi perjalanan ke pusat larian dikendalikan Pihak Berkuasa Sukan India (SAI) untuk menjalani ujian tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Pengasas Akademi Kambala, Prof Gunapala Kambada menyatakan ia adalah satu penghormatan besar buat Kambala, namun beliau agak kesal kerana Gowda tidak dapat menyertai ujian tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Dia ada perlumbaan lain pada bulan depan. Kami tidak menolak tawaran itu dan mungkin ia boleh diadakan pada masa lain," katanya. - Agensi