Covid-19: Penduduk selatan Taiwan diarah berjaga-jaga

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KAOHSIUNG - Penduduk Taiwan dan mereka yang pernah melawat Kaohsiung dan Tainan dinasihatkan memantau tahap kesihatan, berikutan satu kes Covid-19 dikesan membabitkan pelancong yang pernah mengunjungi negeri di selatan Taiwan itu, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

Menurut Pusat Pemerintah Epidemik (CECC), sebahagian penumpang kapal persiaran MS Westerdam yang berlabuh kira-kira empat jam di Pelabuhan Kaohsiung pada 4 Februari lalu telah mengunjungi beberapa kawasan di Pelabuhan Kaohsiung, Kenting di daerah Pingtung dan Fort Provintia di Tainan.

Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Bandar Kaohsiung, Lin Li-jen berkata, mereka turut melawat Muzium Seni Halus Kaohsiung dan Pelabuhan Anping dan Muzium Chimei di Tainan.

Amaran dikeluarkan selepas pada Sabtu seorang wanita Amerika yang merupakan penumpang kapal berkenaan disahkan dijangkiti Covid-19 sebaik tiba di Malaysia.

MS Westerdam, membawa 1,455 penumpang dan 802 anak kapal, belayar meninggalkan Hong Kong pada 1 Februari lalu, singgah di pelabuhan Kaohsiung pada 4 Februari lalu.

Pada 12 Februari kapal itu mendapat kebenaran untuk berlabuh di Pelabuhan Sihanoukvillem, Kemboja, dan beberapa penumpang telah memasuki Malaysia.

Pegawai Taiwan bagaimanapun tidak mengatakan sama ada wanita Amerika berusia 83 tahun itu merupakan seorang daripada kira-kira 1,000 penumpang yang turun di Taiwan.

Pada Isnin, Datuk Bandar Tainan Huang Wei-che berkata wanita Amerika itu bukan dalam kalangan penumpang yang melawat kawasan pelancongan di Tainan.

Artikel Berkaitan:

Seramai 171 orang yang berhubung dan berurusan dengan penumpang kapal persiaran itu juga telah dikenal pasti.

Terdapat dua rakyat Taiwan berada di atas kapal MS Westerdam, dikendalikan Holland America Line milik British/Amerika.

Seorang daripadanya berlepas ke Amerika Syarikat, manakala yang lain dijangka pulang ke Taiwan semalam dan akan dikuarantin.- Bernama