X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Malaysia jadi negara terawal umum pakej rangsangan ekonomi

Guan Eng (tengah) bercakap pada media selepas Majlis Kolaboratif Strategik antara BSN, SME Bank dan MDEC di Cyberview Resort dan Spa hari ini. - Foto Sharifudin Abdul Rahim
A
A

CYBERJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan Malaysia menjadi antara negara terawal yang bakal mengumumkan pakej rangsangan ekonomi susulan penularan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, walaupun begitu sesetengah pihak mengatakan terlalu awal untuk Malaysia berbuat demikian memandangkan kesan wabak Covid-19 masih belum begitu jelas.

“Jika kita lihat negara-negara lain, mereka umumkan pakej rangsangan ekonomi lebih lewat daripada Malaysia.

“Jadi, saya juga tidak faham mengapa sesetengah pihak mengatakan kita lambat untuk berbuat demikian. Kita sebenarnya tidak boleh membuat andaian berhubung perkara ini sebaliknya perlu melihat berdasarkan fakta dan sememangnya kita (Malaysia) antara negara paling awal umumkan pakej rangsangan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kolaboratif Strategik Bank Simpanan Nasional (BSN) bersama Kumpulan SME Bank dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bertempat di Cyberview Resort & Spa, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng mengharapkan semua pihak dapat menunggu pengumuman yang bakal dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung perkara itu pada 27 Februari ini dalam usaha kerajaan mengurangkan impak ekonomi luaran berikutan penularan Covid-19.

Guan Eng turut melahirkan keyakinan bahawa ketika ini negara tidak berdepan dengan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi susulan wabak tersebut.

Katanya, rakyat seharusnya tidak mendengar berita-berita palsu berhubung perkara itu (kesan Covid-19 kepada ekonomi) yang disebarkan termasuk media sosial.

“Kita seharusnya memberi kepercayaan kepada apa yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dan saya fikir mereka telah melakukan yang terbaik dalam situasi yang amat mencabar ini.

“Justeru, kita perlu bersikap rasional kerana kerajaan akan sentiasa mengutamakan kesihatan, keselamatan dan kehidupan rakyat dengan mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Mengulas mengenai kemerosotan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat tahun lepas kepada 3.6 peratus, Guan Eng berkata, beliau mahu melihat ke hadapan dan kementeriannya kini memberi tumpuan kepada usaha penggubalan pakej rangsangan.

Katanya, pakej rangsang tersebut akan membantu menyokong kehadiran pelabur dan keyakinan umum kepada ekonomi Malaysia.

“Begitupun kerajaan tidak dapat membayar balik semua kerugian yang dialami sektor yang terkesan susulan penularan wabak Covid-19, namun kerajaan akan membantu syarikat yang terjejas dalam mengurangkan cabaran yang dihadapi, selain bersiap untuk mendapat manfaat daripada lonjakan ekonomi yang dijangka berlaku selepas berakhirnya wabak Covid-19,” jelasnya.