Rakyat Malaysia pertama positif Covid-19 disahkan sembuh

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad
A
A
A

PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia pertama yang didapati positif koronavirus (Covid-19) awal bulan lalu disahkan sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mangsa berusia 41 tahun itu sebelum ini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

"Kes tersebut adalah kes kesembilan melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 41 tahun.

"Beliau juga merupakan warganegara Malaysia pertama yang disahkan positif jangkitan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Dzulkefly berkata, tiada kes baharu melibatkan wabak itu dilaporkan berlaku di negara hari ini.

"Jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal sebanyak 22 kes di mana hanya 13 kes yang masih dirawat di wad," katanya.

Dalam kenyataan sama, Dzulkefly turut memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan telesidang bersama dengan Menteri Kesihatan Kemboja, H E Prof Mam Bunheng hari ini.

Telesidang yang berlangsung selama 15 minit itu dibuat bagi memperkukuhkan kerjasama di antara kedua-dua negara dalam usaha menangani kejadian jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Pada telesidang tersebut, saya telah maklumkan kepada beliau bahawa pesakit warganegara Amerika Syarikat tersebut menunjukkan tahap kesihatan yang semakin baik.

"Saya turut memaklumkan bahawa ujian pengesahan Covid-19 ulangan telah dijalankan mengikut tatacara yang telah ditetapkan dan didapati masih positif.

"Saya dan Menteri Kesihatan Kemboja berharap keadaan kesihatan pesakit berkenaan bertambah baik," katanya.

Katanya, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia.