Kluster Covid-19 terbesar di luar China

Tempoh kuarantin kapal pesiaran Diamond Princess itu berakhir Rabu ini. - Foto Agensi
Tempoh kuarantin kapal pesiaran Diamond Princess itu berakhir Rabu ini. - Foto Agensi
A
A
A

TOKYO - Jumlah penumpang kapal pesiaran Diamond Princess yang dikuarantin di pelabuhan Yokohama di Jepun sejak 5 Februari lalu semakin meningkat pada setiap hari.

Pertambahan angka itu menjadikan kapal pesiaran tersebut sebagai kluster terbesar jangkitan koronavirus (Covid-19) di luar China.

Hari ini, Menteri Kesihatan Jepun mengesahkan jumlah penumpang yang disahkan positif Covid-19 telah meningkat kepada 355 orang.

Angka jangkitan terbaru itu diumumkan selepas Amerika Syarikat (AS), Hong Kong dan Kanada dilaporkan bersedia untuk memindahkan rakyat mereka dari kapal terbabit.

“Setakat ini, kami menjalankan ujian terhadap 1,219 individu dan lebih 300 disahkan positif Covid-19,” kata Katsunobu Kato.

Khamis lalu, pihak berkuasa kesihatan Jepun memaklumkan mereka akan membenarkan penumpang warga emas turun dari kapal itu dan menghabiskan tempoh kuarantin mereka di kemudahan yang disediakan jika keputusan ujian adalah negatif.

Ketika ini, hampir enam peratus daripada 3,711 penumpang dan kru dijangkiti Covid-19.

Beberapa pakar kesihatan berpendapat langkah kuarantin yang dikenakan ke atas Diamond Princess itu jelas menunjukkan jangkitan lebih mudah tersebar di ruang terkurung.

Artikel Berkaitan:

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, persekitaran kontak rapat seperti kapal pesiaran boleh memudahkan penyebaran virus melalui titisan atau permukaan tercemar.

“Tempoh perjalanan lebih lama menunjukkan risiko jangkitan lebih tinggi berbanding bentuk pengangkutan lain seperti pesawat atau kereta api.

“Jika anda terdedah kepada virus itu ketika berada di dalam pesawat, ia hanya melibatkan penyebaran satu generasi kerana tempoh penerbangan yang singkat.

“Tetapi, di dalam kapal persiaran, ia boleh merebak secara berurutan daripada seorang individu kepada individu lain dan ini menyaksikan trend penyebaran secara berterusan,” kata pakar penyebaran influenza di Universiti Hong Kong, Hui-ling Yen.

Menurutnya, kes jangkitan itu menyaksikan peningkatan yang mendadak sejak beberapa hari lalu.

“Ia berlaku kerana tempoh inkubasi virus itu yang mengambil masa lima hingga 14 hari. Jika langkah kuarantin itu berjaya, kita akan menyaksikan angka jangkitan itu akan mula menurun,” katanya

Difahamkan, tempoh kuarantin kesemua penumpang dan kru kapal pesiaran Diamond Princess terbabit akan berakhir pada Rabu ini. - Agensi

Info

* Kapal pesiaran Diamond Princess membawa lebih 3,700 penumpang dan kru daripada lebih 50 negara dan wilayah itu tiba di pantai Jepun pada awal bulan lalu.

* Ia dikenakan langkah kuarantin selepas pihak berkuasa mendapati salah seorang penumpang yang turun di Hong Kong disahkan positif Covid-19.

* Jepun tidak dapat melakukan ujian pemeriksaan ke atas kesemua penumpang kerana bekalan kit ujian, kemudahan dan tenaga kerja yang terhad.

* Individu yang disahkan positif dipindahkan dan dirawat ke hospital di Jepun manakala penumpang lain diminta terus tinggal di kabin masing-masing sepanjang tempoh kuarantin selama 14 hari.

* Langkah pemeriksaan akan mula dilakukan terhadap penumpang bermula esok dan mereka yang memperoleh keputusan negatif dibenarkan turun dari kapal bermula Jumaat ini.