'Pertemuan dengan Dr Xavier bukan bincang isu air'

Sahruddin
Sahruddin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pertemuan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dengan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar di Putrajaya minggu lepas adalah bagi membincangkan isu di Johor yang melibatkan kementerian.

Dr Sahruddin berkata, ia hanyalah satu perjumpaan rutin dan bukan pertemuan khas yang menyentuh isu Perjanjian Air Sungai Johor 1962 antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

“Memang rutin saya untuk bertemu dengan menteri-menteri untuk berbincang isu-isu di Johor dan minggu lepas, memang saya ada berjumpa dengan Dr Xavier berkenaan pelbagai isu termasuk mengenai perjanjian air antara Malaysia dan Singapura.

“Apapun, kita kena tunggu (sebarang perkembangan terbaru mengenai rundingan semula perjanjian air) daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Singapura nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Undi Berkelompok Projek Penyelenggaraan Jalan Raya MARRIS peringkat daerah Johor Bahru di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika disoal mengenai status rundingan semula perjanjian air dan sama ada pertemuannya dengan Dr Xavier menyentuh isu tersebut.

Pada 9 April tahun lepas, Malaysia dan Singapura bersetuju mencari penyelesaian secara damai berhubung perjanjian air termasuk kemungkinan menyelesaikan pertikaian itu menerusi timbang tara atas dasar persetujuan bersama.

Perkara itu diputuskan kedua-dua negara ketika Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 di Putrajaya yang turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong.

Isu berhubung perjanjian air antara kedua-dua negara kembali menjadi topik panas pada pertengahan 2018 apabila Dr Mahathir berkata, harga air mentah yang dijual kepada Singapura tidak munasabah dan beliau bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan perjanjian yang berakhir pada 2061, ia memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen manakala Johor kemudiannya membeli semula air terawat dari republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen. - Bernama