Covid-19: Tunggu keputusan ujian kedua untuk pengesahan

Kumpulan penumpang turun dari kapal pesiaran MS Westerdam di Sihanoukville semalam. -Foto AFP
Kumpulan penumpang turun dari kapal pesiaran MS Westerdam di Sihanoukville semalam. -Foto AFP
A
A
A

SIHANOUKVILLE - Pengendali kapal pesiaran MS Westerdam hari ini memaklumkan lebih banyak ujian perlu dilakukan untuk mengesahkan seorang penumpang warga Amerika Syarikat (AS) dijangkiti koronavirus (Covid-19) selepas disahkan positif di Malaysia.

Wanita berusia 83 tahun itu adalah penumpang pertama MS Westerdam yang dikendalikan oleh Carnival Corp, Holland America Inc yang dijangkiti virus tersebut.

"Keputusan itu masih awal dan kami kini sedang menanti keputusan ujian kedua untuk pengesahan," kata Holland America dalam satu kenyataan.

Susulan itu, pihak berkuasa Kemboja telah meminta Malaysia untuk menyemak semula keputusan ujian tersebut.

Kemboja mengesahkan ujian pemeriksaan mereka dilakukan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

Wanita warga AS tersebut dilaporkan terbang ke Malaysia pada Jumaat lalu bersama 144 penumpang lain dan Kementerian Kesihatan Malaysia turut mengesahkan keadaannya kini stabil.

Difahamkan, suaminya turut menunjukkan simptom namun keputusan ujian adalah negatif.

Kes melibatkan wanita AS itu menjadikan jumlah jangkitan Covid-19 yang disahkan di Malaysia kini mencecah 22 kes.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kes baharu Covid-19 menurun tiga hari berturut-turut

Menurut Holland America, terdapat 236 penumpang bersama 747 kru masih berada di dalam kapal pesiaran tersebut yang kini berlabuh di pelabuhan Sihanoukville di Kemboja.

MS Westerdam yang membawa 1,455 penumpang dan 802 kru tiba di negara itu pada Khamis lalu selepas tidak diberi kebenaran untuk berlabuh di Jepun, Taiwan, Guam, Filipina dan Thailand kerana bimbang dengan penularan Covid-19.

Ketika ini, kluster jangkitan terbesar Covid-19 yang dilaporkan di luar China adalah di kapal pesiaran Diamond Princess yang kini dikuarantin di pelabuhan Yokohama di Jepun.

Menteri Kesihatan Jepun, Katsunobu Kato mengesahkan kes jangkitan Covid-19 di kapal tersebut kini telah meningkat 355 kes. - Agensi

Kapal persiaran WS Westerdam akhirnya berlabuh di perairan Kemboja selepas ditolak empat buah negara yang risau dengan wabak Covid-19.
Kapal persiaran WS Westerdam akhirnya berlabuh di perairan Kemboja selepas ditolak empat buah negara yang risau dengan wabak Covid-19.