Ops Tera: Buru syarikat percetakan ingkar, degil

KAPAR - Degil dengan amaran diberikan menyebabkan syarikat percetakan dikenakan tindakan tegas menerusi Ops Tera dijalankan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, terdapat syarikat percetakan yang masih gagal memohon lesen mesin cetak walaupun sudah diberi notis peringatan selama 60 hari.
Beliau berkata, pihaknya menjalankan Ops Tera dan menyita mesin serta perkakas mencetak bernilai RM3.9 juta di beberapa lokasi pada Selasa.
"Seramai 30 pegawai Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Ibu Pejabat Putrajaya menjalankan serbuan serentak di tiga lokasi di Semenyih dan Kajang serta dua di Kapar.
"Dalam operasi ini, pasukan operasi turut menahan tiga individu bagi membantu siasatan," katanya pada Selasa.
Nik Yusaimi berkata, operasi seumpama ini akan dilaksanakan dari masa ke masa bagi memastikan premis yang belum memohon lesen mesin cetak membuat permohonan, setelah Program Advokasi Lesen Mesin Cetak (PA LMC) dilaksanakan dan syarikat diberi notis selama 60 hari.
Beliau berkata, pihaknya mendapati masih terdapat premis yang ingkar dan sudah melebihi tempoh notis diberikan 60 hari seperti premis yang diperiksa menerusi program advokasi.
Jelasnya, sejak program advokasi dilaksanakan pada Julai lalu, masih ada syarikat yang belum memohon sehingga November.
Nik Yusaimi berkata, pihaknya melaksanakan aktiviti penguatkuasaan yang progresif dengan menggiatkan aktiviti pematuhan pemilikan LMC oleh syarikat atau premis yang menjalankan aktiviti perniagaan pencetakan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
"Untuk makluman, pemeriksaan mesin cetak, jentera di syarikat atau premis yang menjalankan perniagaan pencetakan oleh KDN adalah berdasarkan peruntukan mengikut subseksyen 3(2) dan Jadual 1 Akta 301 mengenai takrifan mesin cetak dan kadar pencetakan.
"Sesuatu mesin cetak yang berupaya mencetak pada kadar 1,000 teraan atau lebih dalam tempoh sejam hendaklah memiliki LMC," ujarnya.
Beliau berkata, sehingga kini sejumlah 3,035 buah syarikat atau premis pencetakan di seluruh negara diperiksa dan diberikan advokasi serta khidmat nasihat mengenai keperluan pemilikan LMC, selain pematuhan syarat-syarat lesen dengan kadar kepatuhan mengikut kategori.
“Kategori itu adalah tidak memiliki LMC, memiliki lesen tetapi tidak dikemaskini dan menggunakan lesen milik syarikat atau premis lain.
“Menerusi Ops Tera, pemeriksaan ulangan dan operasi dilakukan ke atas sejumlah 44 buah premis setakat ini tetapi tidak termasuk serbuan hari ini," katanya.
Selain itu,Nik Yusaimi berkata, sebanyak 23 kertas siasatan sudah dibuka yang melibatkan sejumlah 136 pelbagai jenis mesin serta perkakas mencetak disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan hampir RM1.5 juta.
Tambahnya, seramai 23 orang, terdiri 19 lelaki dan empat wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 50an ditahan untuk siasatan lanjut di seluruh negara.
Katanya, sehingga November lalu, sebanyak 563 permohonan diterima oleh KDN.
“Syarikat atau premis yang memiliki apa jua jenis mesin cetak bagi tujuan perniagaan yang mempunyai keupayaan mencetak melebihi seribu teraan sejam hendaklah memohon dan memiliki lesen.
“Jika disabitkan kesalahan, pihak atau individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
