Cinta buah tin jadikan guru agama usahawan

Hawari (kiri) bersama Mohd Hafiz Helmi (tengah) dan Khairil Amri yang turut sama melabur untuk mengembangkan sayap perniagaan tanaman buah tin yang diusahakan mereka bertiga.
Hawari (kiri) bersama Mohd Hafiz Helmi (tengah) dan Khairil Amri yang turut sama melabur untuk mengembangkan sayap perniagaan tanaman buah tin yang diusahakan mereka bertiga.
A
A
A

IPOH - Kata pepatah Melayu ada menyebut, berbudi pada tanah pasti akan ada hasilnya dan jika disulami dengan rasa cinta terhadap tanaman itu, pasti pulangannya tidak mengecewakan.

Itulah yang dibuktikan oleh seorang guru agama, Hawari Wanik, 32, yang kini bergelar usahawan buah tin dengan mengusahakan ladang Ipoh Figs Farm di kawasan perkelahan Ulu Chepor seluas 0.40 hektar di sini sejak 2017.

Menurut guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Ummah itu, beliau mengusahakan tanaman buah tin pada 2014 bermula dengan 50 pokok pelbagai variasi di dalam pasu tepi rumah selepas ‘jatuh cinta’ dengan keunikan dan khasiat buah tersebut.

“Saya mula menanam secara suka-suka dekat kuarters. Bila buah tin sudah masak, kita makan sendiri sahaja.

“Penjualan lebih kepada anak pokok dan benih secara dalam talian sebelum ia semakin mendapat sambutan,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Hawari menunjukkan buah tin yang dipetik untuk dibungkus di ladangnya di Ipoh Figs Farm dekat Ulu Chepor, Ipoh.
Hawari menunjukkan buah tin yang dipetik untuk dibungkus di ladangnya di Ipoh Figs Farm dekat Ulu Chepor, Ipoh.

Bermodalkan sebanyak RM60,000 menggunakan duit simpanan dan keuntungan daripada hasil jualan secara dalam talian itu, Hawari mengambil langkah berani mengusahakan tanaman buah dengan nama saintifik Ficus Carica itu secara besar-besaran sejak empat tahun lalu.

Hawari berkata, pada peringkat permulaan beliau mengusahakan ladang berkenaan secara bersendirian dengan membina sebuah rumah pelindung hujan dan menanam sebanyak 336 anak pokok daripada 20 variasi.

Artikel Berkaitan:

“Saya mempelajari teknik penanaman buah tin menerusi pembacaan dan ulang kaji sendiri,” katanya.

Melihat potensi buah tin, dua rakan Hawari iaitu Khairil Amri Abdul Rahman, 43, dan Mohd Hafiz Helmi Md Hashim, 32, turut sama melabur bagi mengembangkan sayap perniagaan, selain menubuhkan Persatuan Figgers Malaysia yang dianggotai pengusaha tanaman pokok buah tin komersial seluruh negara.

Aiskrim berperisa buah tin yang sedia untuk dijual.
Aiskrim berperisa buah tin yang sedia untuk dijual.

“Dengan usahasama ini, sebanyak RM30,000 dikeluarkan untuk membina rumah pelindung hujan yang kedua dan setakat ini kami telah tanam lebih 500 anak pokok buah tin terdiri daripada 70 variasi di kedua-dua buah rumah hijau berkenaan.

“Walaupun jumlah pengeluaran buah tin agak banyak iaitu hampir 20 kilogram (kg) setiap hari, namun kami tidak merancang untuk mengeksportnya kerana tempoh kesegarannya hanya 10 hari, selain memerlukan kos yang tinggi,” katanya.

Hawari berkata, pokok tin mengambil masa antara 40 hingga 60 hari untuk berbuah sebelum boleh dipetik dan dijual pada harga RM80 untuk satu kilogram, seterusnya mampu meraih pendapatan sebanyak RM30,000 untuk semusim penanaman atau tujuh bulan. - Bernama

Daun buah tin yang dijemur sebelum diproses menjadi teh.
Daun buah tin yang dijemur sebelum diproses menjadi teh.