X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Tiada bukti pesakit pulih dijangkiti semula

Boon Chye berucap pada Majlis Amal Pengagihan Sistem Pengawasan kepada sekolah dan organisasi kebajikan anjuran Persatuan Pengusaha Komputer dan Peralatan Digital (PCDA) Perak di Kelab Renang Ipoh hari ini. - Foto Bernama
A
A

IPOH -Tiada bukti menunjukkan bahawa individu yang telah pulih daripada jangkitan koronavirus (Covid-19) akan dijangkiti semula, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, pada kebiasaannya mana-mana individu yang sembuh daripada infeksi virus akan mempunyai imuniti dalam tubuh untuk melawan penyakit berkaitan.

"Memang dikhuatiri jangkitan semula boleh berlaku, tapi setakat ini tiada bukti ini akan berlaku. Selalunya, selepas infeksi viral jarang sekali dapat jangkitan kali kedua sebab boleh dapat perlindungan melalui imuniti kita.

"Di negara China, misalnya doktor menggunakan plasma darah pesakit yang telah pulih (daripada Covid-19) untuk merawat mereka yang sakit teruk, tapi ini kita perlukan data untuk tahu ia berkesan atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan sistem pemantauan keselamatan sekolah di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan bahawa setakat ini sebanyak tujuh individu yang dijangkiti Covid-19 telah sembuh dan dibenarkan pulang.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat lagi pesakit Covid-19 pulih

Selain itu, Dr Boon Chye menasihati orang ramai agar elakkan stigma terhadap mereka yang tiba dari China atau ada kontak dengan kes yang disahkan positif Covid-19 kerana kebimbangan terhadap perkara itu akan hanya akan mengganggu kehidupan seharian.

Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengasingkan mereka yang tiba dari China sekiranya mempunyai simptom jangkitan selama dua minggu dan jika tiada simptom, risiko untuk penularan Covid-19 amat rendah.

"Kontak kepada pesakit Covid-19 juga kementerian akan saring untuk memastikan mereka tidak menjangkiti sesiapa. Bila (ujian) negatif, risiko mereka sebagai punca penyakit agak rendah. Jadi jangan terlalu takut dan ada stigma terhadap mereka yang jadi kontak atau pulang dari China," kata Dr Boon Chye.

Pada majlis itu, Dr Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng, menyampaikan sumbangan Persatuan Peralatan Komputer dan Digital Perak antaranya kamera litar tertutup kepada 25 sekolah dan pertubuhan kebajikan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!