Wanita OKU tak janggal berkaraoke guna bahasa isyarat bersama rakan

SHAH ALAM - Tindakan seorang wanita kurang upaya (OKU) pekak dan bisu menyanyi menggunakan bahasa isyarat ketika berkaraoke bersama tiga rakannya telah mengundang sebak orang ramai.
Perkara itu dikongsikan oleh salah seorang kawannya, Che Syazlan Che Azmi, 26, yang ketika itu tidak menyangka dapat melihat reaksi spontan, Nur Syafiqah Yusuf, 26, melakukan bahasa isyarat sepanjang satu jam berada di dalam pusat hiburan karaoke.
“Ini kali pertama tengok dia buat macam itu dan tidak dinafikan kami semua menangis sebab sedih.
“Masa itu kawan saya yang lain tengah menyanyi, kami semua tak perasan dia sedang buat apa, tetapi bila pusing belakang terus nampak dia sedang menyanyi dengan cara dia sendiri.
“Sebenarnya, mula-mula saya tak mahu ajak dia sertai kami berkaraoke sebab takut dia kurang selesa tetapi selepas saya cuba ajak, dia tak fikir lama dan terus setuju,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Ditanya mengenai kemungkinan Nur Syafiqah merasa janggal ketika itu, Che Syazlan berkata, perkara tersebut tidak mungkin berlaku kerana hubungan persahabatan selama dua tahun itu menjadikan mereka lebih akrab sehingga mampu bergembira bersama.

Menurutnya, keadaan itu bertambah sedih apabila mereka menyanyikan lagu ‘Berakhirlah Sudah’ daripada Atmosfera bersama-sama sambil Nur Syafiqah melakukan bahasa isyarat.
“Kami kawan sudah lama, jadi disebabkan Syafiqah kami belajar bahasa isyarat.
“Saya masih ingat dahulu susah untuk komunikasi dengannya, sampaikan kena guna aplikasi Whatsapp untuk bercakap.
“Mungkin kami belum cukup arif menggunakan bahasa isyarat tetapi disebabkan dia kami akan terus belajar agar lebih mudah untuk fahami dia,” ujarnya.
Tambahnya, dia berharap masyarakat di Malaysia lebih terbuka untuk belajar bahasa isyarat kerana ia bukan sahaja berguna pada masa penting atau kritikal tetapi juga membuatkan golongan OKU tidak berasa keseorangan apabila berkomunikasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
