X

Kindly register in order to view this article
!

Cuaca panas kurangkan risiko Covid-19

Boon Chye (empat dari kanan) menyampaikan set unit sistem pengawasan kepada sekolah-sekolah terpilih di Ipoh hari ini.
A
A

IPOH - Penularan wabak koronavirus (Covid-19) dikaitkan dengan suhu dan ia dijangka dapat dikawal apabila tiba musim panas.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kajian daripada saintis kesihatan Kementerian Kesihatan Singapura, Profesor Dr Tan Chorh Chuan menjelaskan bahawa Covid-19 tidak dapat bertahan lama sekiranya suhu melebihi 30 darjah celcius.

Menurutnya, pengalaman berhadapan dengan wabak influenza dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) mendapati ia serius pada musim sejuk.

“Kita tahu virus boleh dibunuh pada suhu tinggi. Influenza, Covid-19 dan epidemik sebelum ini teruk semasa musim sejuk. Apabila suhu naik, penularan (wabak) itu kurang.

“Kalau lihat di Malaysia di bawah cahaya matahari di kawasan lapang, suhu memang lebih 30 darjah celcius jadi ini peluang untuk kita kurangkan penularan virus sekiranya wabak itu berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyampaian 10 unit sistem pengawasan kepada sekolah-sekolah oleh Persatuan Pengusaha Komputer dan Digital (PCDA) di Kelab Renang Ipoh di sini hari ini.

Ditanya mengenai langkah menutup pendingin hawa bagi mengurangkan risiko jangkitan, Boon Chye berkata, kaedah itu hanya boleh dilakukan sekiranya ada penularan serius.

“Andai kata wabak ini tidak dapat dikawal dan ada penularan dalam kalangan komuniti, ini mungkin satu langkah yang boleh kita pertimbangkan.

“Bagaimanapun, negara kita belum sampai tahap itu lagi,” katanya.

Sementara itu, Boon Chye menasihatkan rakyat agar tidak terlalu takut atau ada stigma terhadap individu yang pulang dari China atau kontak terdekat.

“Kementerian telah ambil pendekatan dari segi kawalan penyakit dengan beri arahan supaya mereka diasingkan selama dua minggu dan mendapatkan rundingan doktor bagi mengurangkan risiko penularan penyakit tersebut begitu juga kontak pesakit, kita buat saringan.

“Orang biasa tidak sepatutnya bimbang, kita buat saringan supaya memastikan mereka ini tidak dijangkiti dan menjangkiti. Sekiranya ujian didapati negatif, risiko mereka menjadi punca penyakit itu adalah rendah,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!