RCI Batu Puteh: Tun M macam orang lemas, kata Saifuddin

Saifuddin Nasution di Auditorium Setia Perkasa 8, Kompleks Setia Perkasa pada Khamis. FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Saifuddin Nasution di Auditorium Setia Perkasa 8, Kompleks Setia Perkasa pada Khamis. FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa keputusan untuk menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Pulau Batu Puteh dibuat secara bersama Kabinet diibarat seperti orang lemas yang cuba menyelamatkan diri.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail senada dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa keputusan itu telah dibuat sebelum mesyuarat Kabinet pada pada 23 Mei 2018.

"Perkara itu sudah ada keputusan. Kita rujuk kepada turutan fakta seperti mana dalam laporan RCI belum ada mesyuarat Kabinet, satu surat telah dikeluarkan oleh Tun.

"Jadi ini adalah percubaannya untuk mengheret (anggota Kabinet) macam orang lemas.

"Orang lemas ini kayu buruk pun dia capai.

"Begitulah keadaan beliau," katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Khamis.

Saifuddin berkata sebagai reaksi terhadap kenyataan Dr Mahathir bahawa ia diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pada ketika itu.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ketika beliau menyertai Kabinet keputusan tersebut telah dibuat.

Artikel Berkaitan:

"Saya merupakan batch ketiga lantikan Menteri seramai 10 orang.

"Saya masuk selepas beberapa bulan keputusan itu telah dibuat," jelasnya.

Laporan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada Khamis minggu lalu mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun sama.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan bon RM10 juta kepada RM100,000 dikenakan PKR terhadap bekas bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin, Saifuddin berkata, parti akan merujuk kepada alasan penghakiman sebelum sebarang tindakan seterusnya dibuat.

"Ya saya akan bincang dengan peguam dan melihat alasan penghakiman mahkamah.

"Apa yang berbeza adalah nilai quantum tetapi fakta kes sabitan berlaku," jelas beliau.

PKR pada tahun 2020 menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti berdasarkan terma dan syarat ditetapkan.

Antara adalah Zuraida bersetuju membayar RM10 juta tidak lewat dari tujuh hari selepas memenangi pemilihan atas tiket PKR dan kemudian meletak jawatan daripada parti atau menyertai mana-mana parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Pada 30 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Akhtar Tahir mendapati bon dan kontrak yang mengikat berkenaan sah selain mengarahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar kos guaman RM50,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!