Aaron-Wooi Yik, Azizulhasni dinobat Olimpian Negara

Aaron-Wooi Yik dan Azizulhasni dinobat Olimpian Negara.
Aaron-Wooi Yik dan Azizulhasni dinobat Olimpian Negara.
A
A
A

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobatkan sebagai Olimpian 2024 pada malam anugerah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Pengiktirafan tersebut susulan kejayaan mereka meraih pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris Ogos lalu.

Pasangan nombor lima dunia itu bagaimanapun tidak hadir kerana menggalas cabaran negara pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di China ketika ini.

"Terima kasih kepada MOM. Anugerah ini memberi motivasi kepada kami untuk terus berjuang demi negara," ujar Aaron menerusi rakaman video.

Dalam pada itu, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang pula dinobatkan sebagai Olimpian bagi edisi 2020.

Beliau yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman meraih pingat perak dalam acara keirin pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung pada 2021.

Mereka menerima anugerah dalam bentuk wang tunai dan plak.

Penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Penganjuran anugerah itu kembali untuk edisi ke-27 bagi menghargai pencapaian terbaik atlet negara serta pegawai dan bekas atlet yang bertanding dalam semua temasya pelbagai sukan antarabangsa.

Kali terakhir ia diadakan pada 2019.

Susulan pandemik Covid-19 yang meninggalkan impak sehingga pelbagai temasya sukan tergendala, MOM memutuskan untuk menunda Anugerah Tahunan MOM dengan menunggu selesainya kitaran Olimpik 2020-2024.

Tahun 2024 juga seiring dengan ulang tahun ke-70 MOM diiktiraf sebagai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Malaysia oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Anugerah Olimpian tahunan menjadi kemuncak di samping Anugerah Wanita dan Sukan MOM serta Induksi ke Dewan Kemasyhuran MOM.

Tanda penghargaan kepada persatuan sukan terbaik turut diperkenalkan bagi persatuan yang konsisten menyumbang pingat emas untuk kontinjen Malaysia di Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.

Majlis dimulakan dengan Induksi ke Dewan Kemasyhuran MOM, membabitkan 20 anggota terbaharu terdiri daripada bekas pegawai sukan dan atlet yang telah memberi sumbangan signifikan kepada arena sukan negara.

Bagi Anugerah Wanita dan Sukan, MOM memilih Tang Kwai Mae atau lebih dikenali sebagai Mae Chen dalam komuniti sukan akuatik sebagai penerima anugerah itu.

Dengan hampir dua dekad sumbangan dalam sukan akuatik, beliau diiktiraf sebagai penerima ke-18 anugerah yang diperkenalkan pada tahun 2003.

Sebanyak 23 persatuan diberi tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam membantu kontinjen Malaysia mencapai kejayaan dan meraih pingat emas di pelbagai temasya sukan.

Seramai 11 penerima Anugerah Olimpian diiktiraf bagi pencapaian cemerlang mereka sejak 2020 hingga 2024.

SENARAI PEMENANG ANUGERAH MOM KE-27

Induksi Dewan Kemasyhuran

Pegawai:

1. Datuk S. Vegiyathuman - Olahraga

2. Allahyarham Datuk Abu Samah Abd. Wahab - Berbasikal

Atlet:

3. Khoo Chong Beng - Olahraga

4. Mendiang Nellan Vellasamy - Golf

Pasukan:

Pasukan hoki wanita Sukan Asia ke-9 Delhi 1982

5. Mary Soo

6. Maheswari Kanniah

7. Mary Lim

8. Teh Siew Bee

9. Elizabeth Gomez

10. Aninie Yew

11. Rawiyah Rawi

12. Asma Amin

13. Halimathon Yaacob

14. Norizan Abd Majid

15. Noorlaila Senawi

16. Christina Chin

17. Yuen Lai Heng

18. Lum Sau Foong

19. Mendiang Daphne Boudville

20. Mendiang Goh Joo Phaik

Pemenang Anugerah Wanita & Sukan 2024

1. Mae Chen

Pemenang Anugerah Pencapaian Persatuan

1. Persekutuan Renang Malaysia

2. Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia

3. Kesatuan Olahraga Malaysia

4. Persatuan Badminton Malaysia

5. Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia

6. Persekutuan Bina Badan Malaysia

7. Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia

8. Malaysia Dancesport Federation

9. Persatuan Ekuestrian Malaysia

10. Konfederasi Hoki Malaysia

11. Persatuan Golf Malaysia

12. Persekutuan Gimnastik Malaysia

13. Persekutuan Karate Malaysia

14. Persatuan Muaythai Malaysia

15. Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia

16. Persekutuan Sukan Boules Malaysia

17. Persatuan Pelayaran Malaysia

18. Persatuan Sepaktakraw Malaysia

19. Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia

20. Persatuan Skuasy Malaysia

21. Taekwondo Malaysia

22. Persekutuan Angkat Berat Malaysia

23. Persekutuan Wushu Malaysia

SENARAI PEMENANG OLIMPIAN TAHUNAN

Pemenang Olimpian Tahunan bagi Sukan SEA Vietnam 2021

Kategori Lelaki – Juwaidi Marzuki (memanah)

Kategori Wanita – Nur Dhabitah Sabri (terjun)

Pemenang Olimpian Tahunan bagi Sukan SEA Kemboja 2023

Kategori Lelaki – Khiew Hoe Yan (renang)

Kategori Wanita – Tan Cheong Min (wushu)

Pemenang Olimpian Tahunan bagi Sukan Komanwel Birmingham 2022

Kategori Lelaki – Aniq Kasdan (angkat berat)

Kategori Wanita – Ng Joe Ee (gimnastik)

Pemenang Olimpian Tahunan bagi Sukan Asia Hangzhou 2022

Kategori Lelaki – Ng Eain Yow (skuasy)

Kategori Wanita –S Sivasangari (skuasy)

Pemenang Olimpian Tahunan bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020

Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal)

Pemenang Olimpian Tahunan bagi Sukan Olimpik Paris 2024

Aaron Chia- Soh Wooi Yik (badminton)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!