Hormati perbezaan, elak perpecahan

Chon Siang bersama Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh meraikan sambutan Tahun Baru Cina di Kuantan baru-baru ini.
Chon Siang bersama Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh meraikan sambutan Tahun Baru Cina di Kuantan baru-baru ini.
A
A
A

KEPINCANGAN perpaduan kaum yang berlaku pada masa kini tidak sepatutnya dipandang enteng kerana ia boleh menjadi barah kepada negara.

Justeru, setiap orang perlu memainkan peranan dalam mencari ruang keharmonian, menjauhi ketaksuban dan berdialog secara rasional bagi mengelak tercetusnya perbalahan sesama kaum.

Meskipun ada perbezaan dan kepelbagaian kaum, ia sepatutnya menjadi faktor kekuatan dan keutuhan daya saing di peringkat global.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang berkata, perbezaan pandangan itu perlu dihormati sesama kaum tanpa menyentuh isu sensitif yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian.

Katanya, sebagai pemimpin masyarakat dan pertubuhan politik, mereka perlu bijak dan cermat dalam menangani isu-isu yang boleh mengundang kepada perpecahan kaum.

“Kita (pemimpin) jangan sesekali menggunakan senjata perkauman untuk mendapat perhatian dan sokong pengikut... ini tidak sepatutnya berlaku.“Seharusnya kita menjadi pendamai kepada rakyat supaya mereka memahami asal usul, menghormati dan menerima budaya, bahasa, agama serta cara hidup setiap bangsa yang berbeza,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya baru-baru ini.

Chon Siang tidak menafikan ada segelintir golongan yang bersikap ekstremis dan bertindak menabur fahaman perpecahan serta menyemarak api perkauman bagi mencetuskan suasana tidak aman dalam negara demi kepentingan peribadi.

Jelasnya, sifat seperti itu perlu dijauhkan dan media seharusnya memainkan peranan untuk tidak memberikan sebarang liputan kepada perkara sebegini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, malah akta yang membasmi perkauman yang sudah lama diwujudkan perlu diperkuatkan semula agar mereka yang mencetuskan ketegangan dikenakan tindakan sewajarnya.

Chon Siang akan pastikan semua masyarakat berbilang kaum disantuninya sebaik mungkin dengan membantu menyelesaikan masalah mereka.
Chon Siang akan pastikan semua masyarakat berbilang kaum disantuninya sebaik mungkin dengan membantu menyelesaikan masalah mereka.

“Pada saya, mereka yang mengeluarkan kenyataan perkauman dan melakukan perkara melanggari keharmonian pelbagai kaum tidak patut diberi sebarang liputan media.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan serius terhadap mereka kerana Perlembagaan Malaysia telah menjamin hak untuk semua kaum di Malaysia. Kalau diikut ajaran agama, semua manusia adalah setara,” katanya.

Rasis

Beliau berkata, meskipun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum penduduknya didominasi 57 peratus kaum Cina, namun tidak bermakna kaum Melayu dan India dinafikan haknya.

Katanya, konsep pentadbiran adalah berasaskan prinsip keadilan untuk semua rakyat secara setara dan tanpa adanya perbezaan.

“Kita perlu bantu semua rakyat, tidak boleh rasis dan perlu memastikan setiap permasalahan rakyat sama ada kaum Cina, Melayu atau India diselesaikan sebaiknya.

“Di sini juga kita cuba menerapkan nilai-nilai murni kepada mereka (rakyat) dan menghormati masyarakat berbilang kaum tanpa mencetuskan isu perkauman,” katanya.

Chon Siang berkata, walaupun bebanan untuk mengembalikan keharmonian adalah berat, namun sudah menjadi kewajipan pemimpin memastikan perpaduan kaum terus utuh.

Menurutnya, program kemasyarakatan dan kemanusiaan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dilaksanakan meliputi kesemua kaum.

“Ia termasuk ziarah dan pemberian barangan harian dan perubatan kepada keluarga dan individu yang memerlukan, termasuk penduduk di DUN sekitar Teruntum.

“Jika ada kemampuan, saya juga ingin mengadakan program peningkatan ekonomi kepada golongan B40, program kebun sayuran organik saiz kecilan kepada mereka yang berminat di sepanjang Sungai Galing dan kawasan Tanjung Api, program sukan muhibah yang melibatkan pelbagai kaum dalam satu pasukan,” katanya.