Penubuhan tribunal hak asasi manusia di peringkat penelitian awal
KUALA LUMPUR - Cadangan penubuhan mahkamah atau tribunal khusus bagi menangani isu dan pencabulan hak asasi manusia di Malaysia ketika ini masih pada peringkat penelitian awal, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.
Beliau berkata, pada 21 November lepas, satu sesi libat urus diadakan melibatkan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Majlis Peguam Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan untuk perbincangan awal mengenai konsep penubuhannya.
Beliau berkata, ia termasuk meneliti undang-undang berkaitan dan kuasa-kuasa tribunal hak asasi manusia yang diguna pakai di negara luar seperti Indonesia, India dan Kanada.
"Dalam melangkah ke hadapan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM bersama-sama pihak yang berkepentingan akan melakukan penelitian lebih terperinci terhadap cadangan ini termasuk mengenal pasti struktur undang-undang yang boleh dilaksanakan serta kuasa-kuasa yang boleh dijalankan tribunal," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Negara pada Rabu.
Mengulas isu kelewatan kes perbicaraan terutama di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen yang dibangkitkan oleh beberapa senator dalam sesi perbahasan RUU itu sebelum ini, Kulasegaran berkata, hal berkenaan berlaku kerana kekurangan hakim.
"Saya difahamkan pada tahun hadapan di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, banyak hakim akan bersara dan perkara ini telah diberitahu kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman untuk disegerakan selain saya juga akan membangkitkannya kepada Perdana Menteri tidak lama lagi supaya satu penyelesaian muktamad dapat dibuat," katanya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam sesi penggulungannya memaklumkan bahawa pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) akan menyegerakan pembinaan sistem perparitan kekal dan saluran tambahan aliran air di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi memastikan insiden banjir di kawasan berdekatan tidak lagi berlaku.
Selain itu, katanya tindakan pendekatan proaktif seperti menyediakan tenaga kerja dan mesin seperti jentera pengorek bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan di lokasi-lokasi dilanda banjir juga akan diteruskan.
"Pihak ECRL sentiasa komited untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelesaikan isu ini secara tuntas dan menyiapkan projek yang bakal memberi manfaat kepada seluruh rakyat ini dalam masa yang ditetapkan," katanya pada sesi penggulungan bagi kementeriannya hari ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!