Apa sudahnya politik negara?

A
A
A

RASANYA minggu ini mungkin paling meresahkan buat orang politik. Ketidaktentuan politik semasa memuncak apabila timbul desas desus akan kewujudan sebuah pakatan baharu antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas. Pakatan bergelar ‘Pakatan Nasional’ dikatakan sebagai sebuah usaha untuk menggantikan Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan parti pemerintah dan sekaligus menamatkan terus pelan peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ke-8.

Perkara itu diperkukuhkan lagi apabila ada khabar angin berkenaan akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahli Parlimen terutamanya daripada PH sendiri untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mahathir menamatkan tempoh mandatnya sebagai Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum akan datang. Walaupun ramai yang masih menafikan dan berdolak-dalik tentang kebenarannya, ia sudah cukup untuk memberikan isyarat bahawa sesuatu yang besar bakal berlaku.

Umum mengetahui pelbagai pihak telah memberikan reaksi mereka terhadap perkara ini. Ada yang melihat ia bagus dan tepat disebabkan tidak tahan dengan ketidaktentuan politik yang memesongkan perhatian orang ramai daripada tugasan harian mereka. Ada juga yang tidak suka dengan alasan bahawa mandat rakyat harus dihormati dan keputusan kerajaan haruslah mendapat pandangan rakyat dan bukannya secara bersendirian membuat keputusan.

Reaksi ini mungkin timbul disebabkan apa yang akan terjadi tidak pernah berlaku. Sebelumnya, Malaysia tidak pernah menghadapi sebarang masalah yang mampu mengancam kestabilan politiknya selepas tragedi 13 Mei 1969. Walaupun amalan demokrasinya dikritik keras, Malaysia berjaya mewujudkan kestabilan politik yang berjaya membawa kemajuan dan kemakmuran yang dicemburui ramai. Malah ia menjadi ikutan dan contoh negara-negara lain yang melihat Malaysia sebagai model politik terbaik dalam konteks negara bermasyarakat majmuk.

Terdahulu, kestabilan politik ini tercipta disebabkan adanya kesepakatan parti yang berkongsi kuasa. Kesederhanaan dan budaya kompromi yang tinggi menjadi tonggak kepada perkara itu. Sebab itu Malaysia mampu mengurus kerencaman dan menyelesaikan permasalahan dengan baik dan tenteram.

Dibandingkan dengan negara-negara lain yang serupa, inilah satu faktor yang selalunya gagal dibentuk dan dicapai lantas menggugat kestabilan politik negara. Kebanyakan mereka bertukar daripada sebuah negara demokrasi kepada tidak demokratik dan sebagainya. Lebih malang lagi ia turut menjejaskan aspek-aspek bernegara yang lain seperti ekonomi, undang-undang dan sebagainya.

Dalam situasi semasa, kita sudah mula melihat bagaimana gangguan kepada kestabilan politik itu sudah mula mempengaruhi aspek ekonomi dan sosial negara. Sejak perubahan kerajaan hampir dua tahun lalu, politik negara begitu goyang dan terganggu dengan hal-hal kepimpinan. Ia telah mengakibatkan pentadbiran negara tidak fokus dan terpesong pengurusannya kerana banyak sangat bermain politik.

Timbul juga dalam fikiran jalan terbaik untuk menyelesaikan semua ini barangkali dengan menyerahkan keputusan kembali kepada rakyat, berbanding mengharapkan penyelesaian daripada orang politik yang tidak berkesudahan. Memang secara falsafah politik dan kerajaan itupun sepatutnya bermaksud kerajaan rakyat, daripada rakyat untuk rakyat. Jadi beranikah kepimpinan yang ada sekarang untuk berbuat dua perkara sebagai penyelesaian; melakukan referendum rakyat supaya suara dan pandangan mereka didengar dalam perkara ini ataupun bubar sahaja Parlimen dan beri laluan kepada pilihan raya semula.

Artikel Berkaitan:

Sudah banyak penulisan yang mengulas tentang apa yang bakal berlaku kalau betul wujud Pakatan Nasional dan sekaligus menyaksikan pertukaran kerajaan minggu hadapan. Dengan Parlimen dijangka akan bersidang lagi awal Mac, mungkin akan ada lagilah plot dan twist berkaitan dengan kepimpinan dan politik negara.

*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)