Suami isteri nyaris maut, lori dinaiki terbabas langgar pokok

Anggota bomba memberikan rawatan awal selepas mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar dari kenderaan.
Anggota bomba memberikan rawatan awal selepas mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar dari kenderaan.
A
A
A

TELUK INTAN - Suami isteri nyaris maut selepas lori dinaiki terbabas dan melanggar pokok berhampiran Jalan Padang Tembak Kampung Selabak di sini pada Rabu.

Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan pada jam 5.26 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, nahas melibatkan sebuah lori muatan barangan jualan pasar dipandu seorang lelaki berusia 65 tahun.

Menurutnya, dalam kejadian itu lelaki terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, namun isteri mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan patah kaki kanan akibat tersepit.

"Tindakan bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

"Mangsa berusia 40 tahun itu kemudiannya diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku akibat hilang kawalan mengakibatkan lori terbabit terbabas dan melanggar pokok.

Artikel Berkaitan:

"Operasi disertai lapan anggota itu tamat pada jam 5.52 pagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!