Setengah jam tersepit, 'King' terbabas rempuh pokok
KEMAMAN - Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan apabila kedua-dua kakinya tersepit pada pedal minyak selepas kereta Perodua Myvi dipandu terbabas lalu melanggar sebatang pokok.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kertih, Pegawai Bomba Kanan 1, Mohd Nazri Ahmad berkata, insiden tersebut berlaku berdekatan Perumahan Rantau Petronas, Kertih, di sini pada Isnin.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan jam 7.40 pagi sebelum mengerahkan sembilan anggota ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba kita dapati mangsa berada di bahagian tempat duduk penumpang hadapan namun kedua-dua kakinya tersepit pada pedal minyak kereta.
"Pihak bomba mengambil masa antara 30 hingga 40 minit untuk mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan tersebut dan operasi ditamatkan jam 8.37 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Isnin.
Mohd Nazri berkata, difahamkan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari tempat kerja di Kertih menghala ke rumah di Kemasik.
Katanya, mangsa diberitahu ada berjanji dengan rakannya untuk minum pagi namun tidak kunjung tiba setelah terlibat dalam insiden tersebut.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa cuba memotong sebuah kereta namun tidak berjaya menyebabkan kereta dipandunya terbabas.
"Mangsa mengalami beberapa kecederaan antaranya patah pergelangan siku kiri dan kaki kanan serta telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!