Polis didakwa bunuh pelajar: Pegawai penyiasat padam rakaman video pelanggaran

Pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh. Foto fail Bernama
Pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh. Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Seorang pegawai penyiasat trafik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau memadam dua rakaman video insiden perlanggaran melibatkan seorang pelajar Tingkatan Lima yang maut di tempat kejadian.

Inspektor Jong Pit Chao, 37, berkata, beliau tidak menyimpan rakaman video itu kerana bukan lagi pegawai penyiasat kes dan telah menyerahkannya kepada pegawai penyiasat baharu iaitu Asisten Komisioner Chua Sze Chuan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Saksi pendakwaan ke-29 itu yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ipoh ketika kejadian berkata, kedua-dua rakaman diperoleh daripada seorang pemandu wanita kereta jenis Mitsubishi Triton yang meletakkan kenderaan di lokasi kejadian semasa perlanggaran berlaku.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid pada perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie,17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati di sini antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Dis 2023.

Mior: Puan tahu ini bukti di mahkamah?

Jong: Tahu. Saya bukan pegawai penyiasat dan saya majukan kepada ASP Chua yang kendalikan siasatan ketika itu.

Saksi itu berkata, apabila satu kertas siasatan dibuka, perlu ada satu klasifikasi kes untuk memulakan siasatan dan bagi kes ini, berdasarkan laporan maklumat awal kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun, beliau berkata skop siasatan turut mengambil kira kemungkinan wujud elemen di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Saya terima maklumat mengatakan berlaku perlanggaran berhampiran SMK Taman Jati melibatkan sebuah kereta dengan motosikal.

Artikel Berkaitan:

“Apabila saya sampai ke lokasi, kejadian ini merupakan satu kejadian yang luar biasa, luar biasa yang saya maksudkan ialah daripada pengalaman saya sebagai pegawai penyiasat trafik, di mana kenderaan yang terlibat dalam kejadian ini termasuk juga kereta dan motosikal tiada di lokasi kejadian,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet bersambung esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!