25,000 peluang pekerjaan dalam industri pengangkutan rel

SEREMBAN - Kira-kira 25,000 peluang pekerjaan baharu dalam bidang pengangkutan rel bakal ditawarkan kepada tenaga mahir tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, industri Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) tren adalah signifikan dalam memastikan kelangsungan dan kemajuan rel negara.
"Di luar sana, terdapat 25,000 peluang pekerjaan dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersedia untuk melatih pelajar-pelajar ini bagi menerobos peluang ini.
"Saya sebutkan bahawa di luar sana, terdapat 25,000 peluang pekerjaan dan UniKL bersedia melatih pelajar-pelajar ini bagi menerobos peluang ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Tren SCS Class 92 Projek Maintenance, Repair & Overhaul (MRO) dan Perjanjian Kolaborasi di antara M Rail Technics (Railtec) dengan UniKL di Depoh EMU KTMB di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi UniKL, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali dan Pengerusi Kumpulan Destini dan Railtec, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir.
Menurutnya, gaji minimum ditawarkan dalam bidang ini bermula dari RM3,000 dan boleh meningkat sehingga RM7,000 bergantung kepada kepakaran pelajar-pelajar ini.
Ujarnya, jika dahulu pelajar dalam bidang berkenaan terpaksa dihantar mengikuti latihan di luar negara tetapi kini segala-galanya dilakukan di negara ini.
Bagaimanapun katanya, masih terdapat keperluan untuk menghantar pelajar-pelajar tersebut ke luar negara bagi mendapat lebih pendedahan dan pengalaman dalam bidang terbabit.
"Malaysia sedang menuju negara maju dan UniKL dalam hal ini terlibat secara langsung untuk melatih tenaga profesional, teknikal dan vokasional dalam semua bidang termasuk MRO untuk kapal terbang, kini kereta api dan kapal.
"Ertinya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET) tidak lagi dalam bidang profesional dan konvensional tetapi kini tumpukan dalam bidang Hi-TVET," katanya.
Sementara itu, beliau dalam ucapannya berkata, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Kesesakan Lalu Lintas dan Keselamatan Jalan Raya, menjadi hasratnya melihat Malaysia berada di landasan tepat untuk menjadi peneraju pengangkutan rel serantau dan global.
Ujarnya, mahu pengangkutan rel menjadi penyelesaian mampan bagi mengurangkan kesesakan jalan raya dan meningkatkan keselamatan pengguna.
"Pengangkutan rel menawarkan ketepatan masa yang tinggi kerana operasinya tidak terjejas oleh kesesakan lalu lintas seperti pengangkutan jalan raya.
"Perkara itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk menjadikan pengangkutan rel sebagai mod pengangkutan dengan sasaran mencapai 40 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang tahun 2023," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

