Singapura catat sembilan lagi kes baharu Covid-19

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengesahkan sembilan lagi kes koronavirus (Covid-19) di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 67.

MOH berkata, enam kes dikaitkan dengan kluster di gereja Grace Assembly of God, satu adalah ahli keluarga dua kes sebelum ini yang mempunyai kaitan dengan DBS Asia Central di Pusat Kewangan Marina Bay.

Kesemua sembilan kes membabitkan rakyat Singapura yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini, menurut MOH dalam satu kenyataan di sini.

Satu daripada kes baharu itu membabitkan seorang lelaki berusia 61 tahun yang bertugas di sebuah hospital swasta.

Pada masa ini beliau ditempatkan dalam bilik isolasi di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID), kata kementerian itu.

MOH berkata, lelaki itu tidak ke tempat kerja sejak bermulanya gejala penyakit tersebut pada 7 Februari lalu dan tidak mempunyai interaksi yang diketahui dengan kes-kes lampau.

Mengemas kini situasi kes yang disahkan, MOH berkata, setakat ini dua lagi kes telah pulih sepenuhnya menjadikan jumlah kes yang dibenarkan keluar dari hospital ialah 17.

"Daripada 50 kes yang disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala enam dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: