Bomba selamatkan guru, murid terperangkap banjir
![Anggota bomba membantu mangsa yang terperangkap dalam banjir di SK Padang Kubu. Foto BBP Cheneh](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/12/10/2922672.jpg)
KEMAMAN - Seramai 29 murid, 14 guru dan empat kanak-kanak yang terperangkap dalam banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kubu, di sini diselamatkan anggota bomba pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh, Mohd Hafiezul Mohamad berkata, operasi menyelamatkan pelajar asrama dengan penghuni kuarters di sekolah berkenaan dijalankan pada jam 7 pagi Selasa.
"Operasi itu dijalankan setelah kawasan sekolah tersebut dinaiki air banjir.
"Seramai 10 anggota bomba dari BBP Cheneh dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membawa keluar kesemua mangsa dengan beberapa jentera termasuk menggunakan bot penyelamat aluminium dan bot fiber.
![Seramai 29 murid, 14 guru dan empat kanak-kanak yang terperangkap dalam banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kubu, di sini diselamatkan anggota bomba. Foto BBP Cheneh](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/12/10/2922670.jpg)
"Alhamdulillah, operasi menyelamatkan itu tamat pada jam 9.30 pagi tadi," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Beliau berkata, kesemua mangsa diserahkan kepada keluarga masing-masing yang sedia menunggu untuk dibawa pulang.
Sementara itu, di PAHANG, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuantan membantu 32 petugas peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) memasuki pusat peperiksaan di Kolej Matrikulasi Gambang di sini, pada Selasa.
Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, bantuan ini diberikan bagi memastikan kelancaran proses peperiksaan dan keselamatan petugas yang terlibat.
![Seramai 32 petugas menaiki lori APM untuk pusat peperiksaan di Kolej Matrikulasi Gambang, di sini, pada Selasa. Foto APM Kuantan](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/12/10/2922671.jpg)
“Difahamkan jalan menuju ke lokasi agak sukar dilalui oleh kenderaan biasa. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah memohon bantuan APM sebagai langkah berjaga-jaga, jika hujan berterusan.
“Sebuah lori telah diperuntukkan untuk membawa mereka ke pusat peperiksaan dengan dibantu empat anggota APM," ujaranya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Ahad telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang melibatkan tujuh negeri sehingga 11 Disember.
![Sebahagian petugas menaiki lori APM untuk pusat peperiksaan di Kolej Matrikulasi Gambang, di sini, pada Selasa. Foto APM Kuantan](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/12/10/2922669.jpg)
MetMalaysia dalam kenyataan menyebut, hujan lebat berterusan dijangka berlaku dari 8 hingga 11 Disember di seluruh negeri Kelantan, Terengganu, dan Perlis.
Selain itu, amaran yang sama turut dikeluarkan bagi kawasan di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan, dan Rompin), Mersing, serta Kota Tinggi di Johor mulai 9 hingga 11 Disember.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!