Polis kesan individu baling batu ke arah kenderaan
PETALING JAYA - Polis sedang mengesan seorang individu yang disyaki membaling batu ke arah kenderaan di Jalan Sungai Buloh-Kepong berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sri Damansara di sini pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya terkesan video tular yang memaparkan kejadian itu pada jam 2.30 petang, Isnin.
"Setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima oleh mana-mana pihak, namun tindakan untuk mengesan individu berkenaan sedang dijalankan.
"Perbuatan khianat berkenaan boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh sampai dua tahun, denda atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
M Hussin Sollehuddin berkata, pihak polis menasihatkan kepada semua pihak supaya tidak melakukan tindakan yang membahayakan nyawa, merosakkan harta benda atau keselamatan orang lain.
"Kita menyeru mana-mana saksi yang melihat atau mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!