Dr Mahathir mahu pelumba basikal negara bersaing di Tour de France

Dr Mahathir (lima, kanan) dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (empat, kanan) melepaskan para peserta peringkat ke-8 LTdL 2020 di Dataran Lang, Langkawi hari ini. -Foto Bernama
Dr Mahathir (lima, kanan) dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (empat, kanan) melepaskan para peserta peringkat ke-8 LTdL 2020 di Dataran Lang, Langkawi hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melahirkan keyakinan pelumba basikal negara mampu bersaing pada kejohanan utama dunia termasuk Tour de France.

Beliau berkata kejayaan yang dicapai pelumba negara pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 membuktikan rakyat negara ini memiliki kebolehan tersebut.

"Tahun ini merupakan penganjuran kali ke-25 LTdL, pelumbaan basikal peringkat tertinggi di negara ini. Saya lihat bahawa buat kali pertama seorang pelumba dari Malaysia memakai jersi merah (Raja Bukit).

"Ini menunjukkan bahawa kita mempunyai kebolehan yang penting, latih diri sepanjang masa hingga perlumbaan seterusnya, saya harap mereka (pelumba basikal negara) akan dapat mencapai kejayaan yang lebih daripada hari ini hingga menjadi juara bertaraf dunia dan akan bertanding dalam Tour de France dan perlumbaan lain," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam sidang media selepas berakhirnya perlumbaan Peringkat Kelapan LTdL di Pekan Kuah di sini hari ini.

Pelumba Malaysia Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff dari Team Sapura Cycling, dinobatkan sebagai Raja Bukit (Jersi Merah).

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, beliau berharap LTdL akan diteruskan pada masa depan kerana perlumbaan tersebut mendapat liputan meluas di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

"Satu dari sebab kita mengadakan LTdL ialah semasa perlumbaan diadakan, stesen televisyen di banyak negara akan memberi liputan. Mereka di negara itu akan dapat lihat seluruh negara kita dari Sabah, Sarawak, Terengganu dan lain-lain negara ini ialah satu pengiklanan yang baik untuk menarik pelancong ke Malaysia," katanya.

Menurutnya menerusi penganjuran perlumbaan basikal LTdl bertaraf dunia, Malaysia mampu menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

"Tahun ini ialah Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) kita harap ramai akan datang ke negara ini tetapi kita hadapi masalah dengan penularan virus epidemik Covid-19. Kita sekarang akan tumpu menarik pelancong dari negara Barat, Asia Tengah dan Amerika jika dapat.

"Kita juga akan galakkan pelancongan dalam negara kerana mereka yang ingin pergi ke China, Jepun, Korea dan sebagainya tidak dapat pergi dan mereka dapat melancong dalam negara dengan itu hotel-hotel kita pun akan maju juga," katanya.-Bernama