Imbau kenangan lebih 40 tahun tidak bertemu sahabat kampus
KUALA LUMPUR - Setelah lebih 40 tahun tidak bersua muka, Alumni Universiti Malaya (UM) kelas 1979 hingga 1983 dipertemukan semula dalam satu majlis penuh signifikan bertemakan ‘Sementara Kita Masih Ada’ pada Ahad.
Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin berkata, pihaknya selaku penaja utama majlis 'reunion' tersebut berasa amat terharu kerana dapat mengimbau kembali kenangan pahit dan manis sepanjang belajar di UM di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan rakan seperjuangan.
Menurutnya, majlis itu juga dianjurkan bagi menghargai UM sebagai institusi yang banyak melahirkan generasi pemimpin negara selari dengan perubahan moto daripada ‘Ilmu Puncha Kejayaan’ kepada ‘Di Sini Bermulanya Pintar, Tanah Tumpahnya Berani’.
“Saya amat gembira dengan kehadiran 200 sahabat kerana ini merupakan perjumpaan kedua buat kita semua, 10 tahun lalu bertemu di rumah saya.
“Kini, hampir 40 rakan kita pergi menghadap Ilahi. Jadi, kita adakan pengisian aktiviti seperti solat berjemaah, tahlil ringkas dan doa selamat.
“Selain itu, Andalusia juga menyediakan hadiah cabutan bertuah utama iaitu tajaan pakej umrah bernilai RM6,390 buat rakan seangkatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis terbabit di Hotel Premiera, di sini.
Hadir sama, Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris dan barisan rakan alumni UM kelas 1978 hingga 1983.
Majlis pertemuan semula yang diadakan secara santai tersebut dimeriahkan lagi dengan persembahan kumpulan nasyid, Raihan berserta deklamasi sajak, kuiz dan tayangan video khas.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Reunion, Abd Rahim Ahmad berpandangan, inisiatif yang merupakan cetusan idea daripada Ibrahim perlu diteruskan dalam usaha memperkukuh jalinan persahabatan sejak zaman pengajian di kampus.
Tambahnya yang juga alumni dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial (Demografi), alumni UM diharapkan terus memacu kecemerlangan serta menyumbang bakti kepada pembangunan negara.
“Kita terpisah lebih 40 tahun, malah ada antaranya tidak pernah berjumpa sesama sendiri.
“Jadi, saya dan sahabat yang lain mengucapkan terima kasih serta penghargaan tidak terhingga buat Andalusia sebagai penaja pada hari ini.
“Kami semua doakan Andalusia sentiasa menjadi syarikat pengendali umrah dan haji yang terulung di negara ini,” ujar beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!