Amanah kecewa Pas jadikan jawatan PM bahan sogokan politik
KOTA BHARU - Parti Amanah Negara (Amanah) kecewa terhadap Pas yang seolah-olah menjadikan jawatan Perdana Menteri sebagai bahan sogokan politik.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, Pas sebaliknya harus mengamalkan politik matang yang menjadi cogan kata parti itu selain menerima hakikat bahawa mereka adalah pembangkang.
Menurut beliau, sekiranya jawatan penting tersebut ditawarkan kepada seseorang yang akan membawa perubahan besar dan dasar-dasar lebih baik, maka Amanah juga mungkin akan turut serta memberi sokongan.
“Kita sokong kalau seseorang itu ada wawasan lebih baik, tetapi kalau tawar jawatan Perdana Menteri semata-mata supaya seseorang itu tinggalkan gabungan Kerajaan Perpaduan dan membentuk kerajaan bersama mereka tanpa mengetahui apa-apa hal tuju, maka saya lihat bahawa itu pendekatan sogokan politik yang amat mendukacitakan.
“Pas patut terima hakikat mereka adalah pembangkang, maka jadilah pembangkang yang membina, memberikan cadangan dan pandangan serta mainkan peranan semak imbang dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Terima Tugas Pengerusi KADA di Pejabat KADA di Lundang di sini pada Ahad.
Beliau dalam pada itu memberitahu, bahkan peranan pembangkang dalam Parlimen juga sangat mengecewakan apabila dilihat tidak memberikan pandangan bernas atau menyumbang fikiran hampir dalam semua aspek.
“Mereka masih tumpu kepada persoalan nak jadi kerajaan, bukan nak terima hakikat sebagai pembangkang.
“Sepatutnya sistem pembangkang bersama-sama dengan kerajaan bangunkan negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Khalid ketika diminta respon berhubung Amanah yang kian lesu terutama di Kelantan, beliau berkata, usaha untuk memulihkan kredibiliti parti itu akan dilakukan sebaik mungkin.
“Amanah baru berusia lapan tahun tetapi bersaing dengan parti-parti politik yang lebih 60 tahun seperti Pas dan UMNO, bukan satu yang mudah tetapi kita tetap akan cuba.
“Amanah juga dipandang lesu tetapi hakikatnya kami bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Persekutuan dan akan terus bekerja di semua peringkat bermula sekarang serta menuju pilihan raya umum akan datang hingga mampu pecah masuk Kelantan dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat usaha untuk memujuk BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan yang pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baharu.
Timbalan Perdana Menteri itu mendakwa, sebagai balasan, parti itu turut ditawarkan jawatan Perdana Menteri jika bersetuju dengan perancangan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!