Kapal kontena berlabuh tanpa kebenaran ditahan

KUALA SELANGOR - Tindakan sebuah kapal kontena berlabuh tanpa kebenaran membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor pada Sabtu.
Kapal itu ditahan selepas didapati berlabuh di kedudukan kira-kira 29 batu nautika barat daya Tanjung Karang di sini pada jam 1.40 tengah hari.
Pengarahnya, Kepten Maritim, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu adalah hasil maklumat Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan kapal mencurigakan pada pagi Sabtu.
"Pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, kapal kontena itu tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
"Bertindak atas maklumat, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi seterusnya telah menahan kapal kontena tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Abdul Muhaimin memberitahu, kapal itu difahamkan berdaftar di Panama bersama 20 kru lelaki termasuk nakhoda.
"Semua mereka berusia lingkungan 30 hingga 59 tahun termasuk seorang warga China yang mempunyai dokumen pengenalan diri sah," kata beliau.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut mendapati, kapten kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
"Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan kapten serta seorang kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut," ujar beliau.
Beliau memberitahu, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya negeri Selangor sentiasa terpelihara.
Kata beliau, pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan perlu mengikut peraturan ditetapkan sebelum melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.
Sekiranya terdapat aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

