Dana bawa pulang mendiang Olivia sudah cukup - Adik

Laporan Sinar Harian berhubung kematian Olivia yang meninggal dunia di kediamannya di Hwamok-ri, wilayah Gyeongsang Utara, pada Rabu lalu.
Laporan Sinar Harian berhubung kematian Olivia yang meninggal dunia di kediamannya di Hwamok-ri, wilayah Gyeongsang Utara, pada Rabu lalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kos untuk membawa pulang jenazah Olivia Richard, 46, dari Korea Selatan ke Sabah sudah mencukupi apabila ahli keluarga berjaya mengumpul wang sebanyak RM45,000.

Menurut adik mendiang, Dora, 44, dana untuk membawa pulang jenazah diperoleh menerusi sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

"Kami dimaklumkan, dana untuk membawa pulang jenazah mendiang akan ditanggung sepenuhnya oleh YKS manakala untuk kos bagi bil hospital dan sebagainya kami akan selesaikan dengan menggunakan wang yang diterima menerusi sumbangan orang awam dan juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

"Jadi kami sekeluarga ingin menutup kutipan dana tersebut kerana telah mencukupi iaitu sekitar RM45,000 setakat ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Bagaimanapun Dora berkata, pihaknya akan berhubung dengan pihak yang menguruskan penghantaran jenazah mendiang kakaknya di negara tersebut untuk maklumat lanjut.

"Setakat ini kami belum ada maklumat lanjut termasuk tarikh penerbangan jenazah dibawa pulang ke Kota Kinabalu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Solidariti Anak Sabah, Amanda Fenniellie Lawis Chung berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO), pihaknya terlibat dalam memberikan bantuan kepada waris mendiang termasuk untuk mendapatkan dana.

"Peranan kami hanya memberi garis panduan kepada waris dari segi dokumentasi jenazah yang ingin dibawa pulang dan usaha mendapatkan dana.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga ada berhubung dengan YKS sebelum ini untuk memohon bantuan. Jadi kami bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan dana telahpun mencukupi," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Olivia meninggal dunia di kediamannya di Hwamok-ri, wilayah Gyeongsang Utara, pada Rabu lalu.

Jenazah Olivia kini berada di Hospital Andong Sungso selepas dibedah siasat dan kini ahli keluarga sedang berusaha untuk membawanya pulang untuk disemadikan di kampung halaman di Kampung Novoung, Papar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!