Banjir: Risiko besar jika tiada langkah agresif

Keadaan beberapa buah rumah yang musnah di perkampungan selepas kawasan tersebut dilanda banjir. Foto hiasan
Keadaan beberapa buah rumah yang musnah di perkampungan selepas kawasan tersebut dilanda banjir. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Negara berdepan beberapa risiko besar termasuk kerugian sektor ekonomi yang berterusan sekiranya tidak mengambil langkah agresif menangani banjir pada Monsun Timur Laut (MTL).

Pensyarah Kanan Jabatan Geografi, Universiti Malaya, Dr Sheeba Chenoli berkata, strategi pencegahan banjir harus dibangunkan berdasarkan kajian strategik kawalan banjir dan model pengiraan.

“Hujan lebat dan banjir akan terus menjadi masalah sehingga kerajaan bertindak dengan mengambil langkah praktikal jangka panjang yang mencukupi,” katanya.

Ujar beliau, pemindahan ribuan mangsa banjir yang terkesan juga akan menjejaskan masyarakat terutamanya berpendapatan rendah.

“Pemulihan sosioekonomi sering mengambil masa lebih lama selepas banjir berakhir,” jelas Sheeba.

Selain itu katanya, banjir boleh menyebabkan hakisan tanah, pemendapan di sungai dan kehilangan biodiversiti di kawasan yang terjejas.

“Ia juga menghalang kemajuan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti daya tahan terhadap perubahan iklim, pengurangan kemiskinan, dan pembangunan infrastruktur mampan,” katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan 10 syor dikemukakan pakar bagi menyelesaikan masalah bencana banjir yang melanda negara terutamanya di musim tengkujuh antaranya pembinaan terowong lencongan banjir bawah tanah, lebuh raya air bawah tanah dan sistem penuaian air hujan mega.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Sheeba berkata, cadangan yang dikemukakan oleh pakar tersebut bersifat holistik selaras dengan amalan terbaik global.

Bagaimanapun, jelas beliau, kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan, koordinasi antara agensi kerajaan dan swasta selain peruntukan mencukupi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!