X

Kindly register in order to view this article
!

Algae atasi isu pemanasan global

A
A

WARTAWAN Edwina Langley membangkitkan isu pemanasan global dalam artikelnya bertajuk Can Algae Save the World?. Penulis terpanggil mengupas isu tersebut kerana data terkini menunjukkan pemanasan global memberi kesan kepada aktiviti pertanian dan perikanan menyebabkan kemerosotan pengeluaran makanan sehingga 90 peratus sekali gus membawa maksud 7.2 bilion penduduk dunia turut terancam.

Langley mencadangkan algae atau alga sebagai jalan penyelesaian isu ini. Secara kebetulan penulis turut terlibat secara langsung dalam penyelidikan dan pembangunan sistem pembiakan dan penghasilan algae secara komprehensif bagi tujuan penggunaan komersial. Penulis dipertanggungjawabkan melakukan penyelidikan penggunaan model matematik bagi mengoptimum pembiakan algae secara sistematik.

Penyelidikan ini bertajuk Continuous Operating System for Micro-algae Culture Optimized for Sustainable Tropical Aquaculture (COSMOS) ialah kerjasama unik antara kerajaan Malaysia dan Jepun sejak 2017. Tiga universiti ternama iaitu Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Selangor menjalin kerjasama dengan empat universiti terkenal di Jepun iaitu Soka University, Tokyo University, Japan National Institute for Environmental Studies dan Tokyo Institute of Technology.

Geran penyelidikan disalurkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Japan International Cooperation Agency dan Japan Science and Technology Agency. Dalam artikelnya, Langley menyatakan isu algae sebagai ‘kesedihan ekologi’. Mengikut kajian secara saintifik, algae ialah pemangkin efektif rawatan air sisa untuk mengurangkan bahan kimia toksik lebih efektif. Algae berperanan menahan baja di ladang mengikut larian air hujan kerana ia diperkaya dengan sifat baja penggalak tumbuhan lain.

Algae diklasifikasi kepada tiga jenis utama iaitu Chlorophycease (algae hijau yang mempunyai kandungan pigmen klorofil ‘a’ dan ‘b’ mengikut jenis Chlamydomonas, Spirogryra dan Chara. Jenis kedua ialah Phaeophyceae iaitu algae coklat yang hidup di laut dan mempunyai klorofil. Jenis ketiga ialah Rhodophyceae iaitu algae merah mengandungi pigmen merah dipanggil r-pycoerythrin.

Algae digunakan dalam perindustrian, pertanian, perubatan dan pemakanan seperti spirulina. Dalam sektor perubatan, algae digunakan sebagai salah satu sumber antioksidan dan antikanser yang bertindak sebagai antivirus. Banyak kajian sedang dilaksanakan di makmal sebagai bahan utama dalam industri farmaseutikal.

Penulis mendapati fakta kajian toksikologi mengenai kesan penggunaan algae kepada manusia dan haiwan menunjukkan ia menghasilkan protein dalam makanan sehingga 800 miligram per kilogram makanan atau 60 peratus pengambilan protein sekali gus membuktikan ia mampu mencegah kerosakan makanan akibat alam sekitar.

Penulis pernah terdengar mitos orang terdahulu kononnya algae telah digunakan sebagai baja makanan beratus-ratus tahun lamanya. Terbaharu, algae berperanan sebagai bahan bakar biodiesel, penebalan agen makanan, medium pertumbuhan bakteria dan kawalan pencemaran.

Penulis yakin kumpulan saintis Malaysia mampu untuk membuktikan bahawa algae mampu memberi kesan positif kepada kemajuan dunia. Namun, Kerajaan Malaysia harus terus memberi peruntukan kepada saintis biologi bekerjasama dengan jurutera sistem dan ahli matematik untuk melaksanakan kajian gunaan terhadap komersil algae. Pada masa yang sama, algae mampu melindungi bumi Malaysia daripada pemanasan global dan cuaca tidak menentu.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus