Perundangan Islam terus dimartabatkan

Noorazmir
Noorazmir
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan anak orang Islam tidak sah taraf tidak boleh dibin atau binti dengan nama bapanya membuktikan perundangan di negara ini menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan.

Presiden Pertubuhan Pengamal Undang-undang Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam), Noorazmir Zakaria berkata, keputusan ini jelas mengangkat kedudukan Islam di sisi perlembagaan.

"Ia juga menegaskan satu lagi keputusan mahkamah yang pernah diputuskan iaitu kes Ramah Laton bahawa Islam bukanlah undang-undang yang asing dan undang-undang asal di negara kita.

"Justeru, agensi seperti institusi fatwa mesti dirujuk bagi merungkai masalah hal ehwal Islam di negara kita terutama isu melibatkan anak tidak sah taraf ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noorazmir, ProGuam menyambut baik usaha kerajaan dalam mendaulatkan Islam khususnya memartabatkan undang-undang Syariah.

Katanya, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa anak tidak sah taraf bagi kes terbabit tidak boleh dibin Abdullah kerana Majlis Fatwa Negeri Johor ketika fakta kes ini berbangkit masih belum mengazetkan fatwa daripada Majlis Fatwa Kebangsaan yang membenarkannya.

"Justeru, satu usaha harus digembleng oleh semua agensi berkaitan hal ehwal Islam di negara kita untuk komited menyeragamkan perundangan Islam di negara kita.

"Negara kita mempunyai Majlis Raja-Raja dan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam yang amat aktif dan komited membabitkan setiap masalah berkaitan umat Islam di negara kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-3 hari ini memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf tidak boleh dibin atau binti dengan nama bapanya.

Panel tujuh hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf membenarkan sebahagian rayuan dikemukakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ketua pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan mahkamah rayuan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah putuskan anak tak sah taraf tak boleh di bin atau binti nama bapa