Timbang semula bekalan air berjadual kawasan pelancongan

Adly (tengah) bertemu dengan masyarakat yang ingin menyalurkan aduan ketika program Hari Bertemu Rakyat Perdana di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.
Adly (tengah) bertemu dengan masyarakat yang ingin menyalurkan aduan ketika program Hari Bertemu Rakyat Perdana di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk memuktamadkan semula penjadualan air di kawasan pelancongan bagi menambah baik pelaksanaannya.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, penjadualan air fasa kedua yang diperluaskan membabitkan kawasan pelancongan dan perhotelan bermula Isnin lalu membimbangkan pengusaha chalet terutama sekitar Tanjung Bidara hingga ke Kuala Sungai Baru.

Menurutnya, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) wajar mempertimbangkan terutama penutupan air pada hujung minggu kerana mereka menerima kehadiran pengunjung yang ramai.

Bermula 29 Januari lalu Melaka melaksanakan program bekalan air berjadual membabitkan 157,335 pemegang akaun SAMB, meliputi 22 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), masing-masing 14 di kawasan Melaka Tengah, enam di Alor Gajah dan dua di Jasin sebelum diperluaskan kepada kawasan perhotelan, pelancongan dan hospital bagi fasa kedua.

Adly memberitahu, isu itu wajar diberi perhatian bagi memastikan bekalan air mencukupi dan terus dikunjungi sesuai dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.

"Persatuan Pengusaha Chalet sudah berbincang bersama SAMB supaya gangguan air tidak dikenakan kepada mereka pada hari Sabtu dan Ahad.

"Jadi kita meminta pertimbangan SAMB memuktamadkan penutupan air selepas jam 2 petang," katanya kepada pemberita selepas program Hari Bertemu Rakyat Perdana di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Jelasnya, walaupun mereka menerima bekalan air melalui loji Air Gadek namun tekanan air masih rendah dan tidak menolak kemungkinan faktor jarak jauh.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan negeri sedang mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembinaan loji baharu yang lebih strategik berdekatan kawasan pelancongan terbabit supaya pengguna menerima tekanan air tinggi dan bekalan air lebih terjamin.

"Sebenarnya banyak perancangan kita seperti tenaga, melalui EDRA yang akan dilaksanakan pada tahun depan akan selesai masalah tenaga, bagaimanapun masalah air ini mengambil sedikit masa dan berharap mereka yang terlibat bersabar," katanya.