Mahdzir terus diasak soalan lantik peguam untuk lepaskan diri dari tuduhan rasuah

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi pendakwaan kelima, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini terus diasak pihak pembelaan berhubung keterangan terdahulu mengenai penafian beliau melantik peguam bernama Datuk Vignesh untuk membuat rundingan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahdzir memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau menafikan soalan peguambela hari ini yang menyatakan beliau telah mengambil peguam itu untuk melakukan rundingan dengan SPRM bagi membela diri dari tuduhan rasuah.

Mahdzir berkata, beliau hanya menggunakan khidmat peguam berkenaan berhubung siasatan SPRM terhadapnya pada tahun 2018 tetapi tidak bersetuju bahawa ia bertujuan melakukan rundingan dengan pihak berkuasa.

Peguam bela Datuk Jagjit Singh kemudiannya menunjukkan surat itu dalam mahkamah hari ini bahawa surat itu daripada firma undang-undang yang ditulis kepada Peguam Negara.

Surat bertarikh 27 November 2018 itu mengatakan firma itu mewakili Mahdzir dan diarahkan untuk menulis kepada pejabat Peguam Negara berhubung penyiasatan mengenai kes hibrid solar.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas menteri sangkal dakwaan terima habuan RM60 juta

Mahdzir dakwa Najib cuma diam selepas mengadu diperlekeh

Dalam surat itu, ia merujuk kepada Mahdzir, bersedia memberi keterangan "terhadap penggerak utama" skim rancangan itu.

Artikel Berkaitan:

Jagjit: Siapa yang dimaksudkannya dengan "penggerak utama"?

Mahdzir: Saya tidak dapat menjawab soalan itu.

Jagjit: Setuju dengan saya, penggerak utama itu sama ada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin atau pembantu Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor.

Mahdzir: Tidak Setuju.

Timbalan Pendakwaraya Akram Gharib kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan mempunyai beberapa soalan lagi untuk pemeriksaan semula.

Menurut beliau, pendakwaraya utama Datuk Seri Gopal Sri Ram hari ini sedang menghadiri kes lain di Mahkamah Persekutuan dan beliau ingin melakukan pemeriksaan semula pada minggu hadapan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudiannya membenarkan sesi itu dijalankan Isnin depan.

Selepas Akram meminta Mahdzir menjelaskan beberapa perkara mengenai surat oleh firma undang-undangnya kepada Peguam Negara pada tahun 2018, saksi itu kemudiannya dibebaskan dan turut diberitahu oleh hakim supaya tidak membincangkan mengenai keterangannya dalam mahkamah dengan orang lain.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan meminta suapan berjumlah RM187.5 juta serta menerima RM1.5 juta bagi projek pembekalan tenaga solar di sekolah di pedalaman Sarawak.

Dalam pertuduhan pertama, beliau dituduh secara tidak jujur meminta suapan bagi dirinya iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak projek solar itu daripada Saidi Abang.

Beliau dituduh membuat kesalahan itu melalui bekas pegawai khasnya, Rizal.